Saham Asia meningkat, harga minyak pulih

Angka pembukaan Bursa Saham Tokyo dipaparkan pada skrin selepas majlis pembukaan bagi meraikan hari dagangan pertama tahun ini di Tokyo Stock Exchange, Tokyo pada 5 Januari 2026. Foto AFP
Angka pembukaan Bursa Saham Tokyo dipaparkan pada skrin selepas majlis pembukaan bagi meraikan hari dagangan pertama tahun ini di Tokyo Stock Exchange, Tokyo pada 5 Januari 2026. Foto AFP
A
A
A

SAHAM Asia dan emas meningkat manakala harga minyak pulih daripada paras rendah awal pada Isnin, ketika pelabur menilai kesan penyingkiran pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro oleh Amerika Syarikat (AS).

Tentera AS dilaporkan menyerang Caracas awal Sabtu, mengebom sasaran ketenteraan serta membawa keluar Maduro dan isterinya untuk berdepan pertuduhan penyeludupan dadah di New York.

Venezuela memiliki rizab minyak terbukti terbesar di dunia, dan kemasukan lebih banyak minyak mentah Venezuela ke pasaran berpotensi memburukkan kebimbangan lebihan bekalan, sekali gus menambah tekanan ke atas harga minyak yang sedia ada.

Selepas berada dalam zon negatif pada awal dagangan Asia, harga minyak Brent meningkat 0.28 peratus kepada AS$60.92 (RM246.73) setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) naik 0.16 peratus kepada AS$57.41 setong.

Presiden AS Donald Trump berkata, AS kini akan menguruskan Venezuela dan menghantar syarikat-syarikat Amerika untuk membaik pulih infrastruktur minyak negara itu yang teruk rosak.

Bagaimanapun, penganalisis menyatakan bahawa di sebalik pelbagai persoalan besar mengenai masa depan negara Amerika Selatan itu, peningkatan ketara dalam pengeluaran minyak bukan sesuatu yang mudah, pantas atau murah.

Selepas bertahun-tahun kekurangan pelaburan dan sekatan, Venezuela kini menghasilkan sekitar satu juta tong minyak sehari, jauh lebih rendah berbanding kira-kira 3.5 juta tong sehari pada tahun 1999.

“Sebarang pemulihan pengeluaran memerlukan pelaburan yang besar memandangkan infrastruktur yang semakin uzur akibat salah urus dan kekurangan pelaburan selama bertahun-tahun,” kata penganalisis UBS, Giovanni Staunovo kepada AFP.

Pelaburan dalam sektor ini juga dilihat kurang menarik buat masa ini kerana harga minyak ditekan oleh lebihan bekalan dan mencatat penurunan pada 2025, walaupun berdepan cabaran pertumbuhan yang ketara seperti perang tarif Trump dan konflik berterusan di Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, saham Asia mencatat kenaikan kukuh pada awal dagangan, meneruskan momentum tahun lalu disokong oleh minat tinggi terhadap saham berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Indeks Nikkei Tokyo meningkat 2.36 peratus kepada 51,527.09 mata, dengan pelabur teknologi SoftBank naik sekitar empat peratus dan pengeluar peralatan cip Tokyo Electron melonjak lima peratus.

Indeks Kospi Korea Selatan pula meningkat 2.53 peratus kepada 4,418.67 mata, dengan SK Hynix naik lebih tiga peratus manakala Samsung Electronics melonjak 4.6 peratus.

Emas, yang dianggap aset perlindungan, meningkat 1.28 peratus kepada AS$4,388 seauns.

“Penilaian pasaran masih berada pada paras yang hanya pernah dilepasi semasa gelembung Dot.com, sementara peruntukan kepada ekuiti kekal tinggi dan pegangan tunai berada pada tahap rendah,” kata Kyle Rodda dari Capital.com.

“Ringkasnya, pasaran memerlukan lebih banyak bukti pertumbuhan ekonomi AS yang berdaya tahan, penurunan inflasi yang berterusan dan seterusnya pemotongan kadar faedah AS, pendapatan korporat yang kukuh, serta pulangan sebenar daripada kecerdasan buatan untuk terus meningkat,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Ringkasan AI

  • Saham Asia dan emas meningkat manakala harga minyak pulih daripada paras rendah awal ketika pelabur menilai kesan penyingkiran pemimpin Venezuela oleh AS
  • Tentera AS dilaporkan menyerang Caracas, mengebom sasaran ketenteraan dan membawa keluar Maduro untuk berdepan pertuduhan penyeludupan dadah di New York
  • Venezuela memiliki rizab minyak terbesar di dunia dan keadaan itu berpotensi memburukkan lebihan bekalan minyak
  • Presiden AS Donald Trump berkata, AS akan menguruskan Venezuela dan menghantar syarikat-syarikat Amerika untuk membaik pulih infrastruktur minyak
  • Selepas bertahun-tahun kekurangan pelaburan, Venezuela menghasilkan sekitar satu juta tong minyak sehari, jauh lebih rendah daripada pada tahun 1999

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!