Mesej tular PPV beri vaksin percuma kepada warga asing palsu

Mesej tular berkenaan PPV Kompleks Dewan Komuniti Pantai Seremban memberikan vaksin jenis Pfizer secara terus dan percuma kepada warga asing disahkan sebagai palsu. Gambar kecil: Veerapan
Mesej tular berkenaan PPV Kompleks Dewan Komuniti Pantai Seremban memberikan vaksin jenis Pfizer secara terus dan percuma kepada warga asing disahkan sebagai palsu. Gambar kecil: Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Mesej tular berkenaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Dewan Komuniti Pantai Seremban, memberikan vaksin jenis Pfizer secara terus dan percuma kepada warga asing bermula dari 1 hingga 3 September adalah palsu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, maklumat tidak sahih itu telah disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara tersebut yang dilakukan oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini kerana mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Pejabat Kesihatan Daerah menafikan tidak membuat sebarang bentuk hebahan mengenai isu yang ditimbulkan.

Mereka juga sedang melakukan siasatan terhadap maklumat pemberian vaksin percuma kepada warga asing ini.

"Setakat ini, Kompleks Dewan Komuniti Pantai hanya menerima kehadiran warga asing untuk domestik sahaja, bukan dalam sektor industri dalam anggaran 50 orang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Tambah beliau, individu yang terlibat dalam kegiatan penyebaran berita palsu ini, boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana telah menimbulkan perasaan huru-hara dalam kalangan masyarakat, selain menganggu usaha kerajaan negeri dalam membentuk strategi bagi mengawal pandemik Covid-19 ini.

Dalam pada itu, Veerapan memberitahu, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengadakan program outreach di Mukim Pantai, Seremban sejak 1 September dan berakhir esok (3 September).

Artikel Berkaitan:

Katanya, program tersebut diadakan kerana berlaku beberapa masalah seperti capaian akses internet yang kurang memuaskan, tahap pendidikan dan tidak mempunyai alat komunikasi untuk mendaftar.

"Kita yakin melalui program outreach ini dapat membantu mencapai sasaran imuniti berkelompok secepat mungkin di Negeri Sembilan,” katanya.