Selangor perlu beri penjelasan isu HSKLU

Hazwan Mohamad
Hazwan Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat memerlukan jawapan tuntas daripada kerajaan negeri Selangor yang telah menyahwarta 54 peratus hutan simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada Mei lalu.

Ketua Penerangan Parti Berjasa Malaysia, Hazwan Mohamad berkata, penyahwartaan telah membenarkan 536.7 hektar hutan itu diekspoilasi nafsu serakah untuk pembangunan.

Beliau mempersoalkan keputusan kerajaan negeri yang seolah sudah hilang pertimbangan dengan membenarkan hutan simpan yang mempunyai fungsi penting diteroka demi projek pembangunan kapitalis.

"Kawasan hutan ini merupakan hutan paya gambut yang jarang ditemui dan menjadi habitat semula jadi haiwan yang diancam kepupusan.

"Hutan simpan ini juga mempunyai keunikan biodiversiti dan fungsi ekosistem, sistem hidrologi Sungai Langat, pengawalan banjir dan kawasan tadahan air penting untuk penduduk sekitar Banting serta Kuala Langat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, pada November tahun lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebulat suara meluluskan usul agar kerajaan negeri membatalkan rancangan penyahwartaan hutan simpan tersebut.

"Bagaimanapun ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong menyatakan bahawa keputusan DUN itu tidak mengikat dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) boleh mengatasi keputusan tersebut.

"Apakah justifikasi utama kerajaan negeri menafikan keputusan sebulat suara ahli-ahli DUN yang bernaung di bawah Sultan Selangor yang telahpun menolak penyahwartaan ini? Rakyat perlukan jawapan tuntas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Exco Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian memaklumkan MMKN Selangor bersetuju menyahwartakan HSKLU bagi tujuan pembangunan.

Menurutnya, jumlah keluasan yang dipersetujui itu adalah sebanyak 536.7 hektar daripada rancangan asal iaitu seluas 930 hektar selepas mempertimbangkan bantahan awam.