Agih makanan percuma, sanitasi bangunan sambut 31 Ogos

Ahli jawatankuasa masjid mengagihkan nasi ayam percuma kepada penduduk
Ahli jawatankuasa masjid mengagihkan nasi ayam percuma kepada penduduk
A
A
A

NILAI - Masjid Al-Azim Taman Semarak di sini menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada Selasa dengan cara mengagihkan sebanyak 950 bungkus nasi ayam percuma kepada penduduk termasuk golongan asnaf yang tinggal di Flat Taman Semarak.

Selain itu turut dilakukan ialah kerja-kerja sanitasi di 18 blok bangunan flat berkenaan yang sebelum ini pernah menjadi kawasan merah Covid-19.

Pengerusi Masjid Al Azim Taman Semarak, Md Fakarudin Ab Rahman berkata, program itu dilaksanakan sebagai simbolik kepada keadaan negara yang sedang berdepan pandemik Covid-19.

"Biasanya menjelang 31 Ogos akan adakan ceramah keagamaan tapi disebabkan masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), ia terpaksa disambut dalam keadaan norma baharu.

Kerja-kerja sanitasi bangunan Flat Taman Semarak dilaksanakan.
Kerja-kerja sanitasi bangunan Flat Taman Semarak dilaksanakan.

"Kami pilih untuk beri makanan kerana mengenang ramai yang hidupnya terkesan sekarang dan program sanitasi dilakukan dengan harapan supaya suatu hari nanti Malaysia dapat merdeka dari Covid-19," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, masjid sebagai sebuah pusat komuniti turut memainkan peranan menyampaikan mesej positif kepada masyarakat sempena Hari Kebangsaan.

Ujarnya, bersyukur kerana keamanan dan kesejahteraan negara yang diperoleh dari keringat pejuang terdahulu masih kekal terpelihara.

Artikel Berkaitan:

"Tapi hari ini kita berdepan peperangan lain iaitu melawan Covid-19. Rakyat dah penat dan tertekan berdepan Covid-19 yang tak berkesudahan.

Ahli jawatankuasa masjid memberi bungkusan nasi ayam percuma kepada seorang lelaki warga asing.
Ahli jawatankuasa masjid memberi bungkusan nasi ayam percuma kepada seorang lelaki warga asing.

"Kita berharap dengan usaha kecil masjid anjurkan sambutan kemerdekaan dengan cara begini sedikit sebanyak mengubati hati penduduk di Flat Taman Semarak," katanya.