Lajim 'guru' dalam karier politik saya: ADUN Klias

Gambar kecil dari kiri: Isnin Aliasnih, Ruslan Muharam
Gambar kecil dari kiri: Isnin Aliasnih, Ruslan Muharam
A
A
A

BEAUFORT - Pemimpin tempatan di daerah ini menganggap Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin sebagai 'guru' dalam perjalanan karier politik mereka.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih mengakui karier politiknya yang bermula pada 1991 adalah hasil didikan Allahyarham sehingga beliau kini diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias.

"Pada tahun 1994, kami sama-sama dalam UMNO sehingga saat ini (Bersatu). Dulu dia Ketua Bahagian, saya timbalan (UMNO) dan sehingga kini saya ketua, dia timbalan (Bersatu).

"Dia memang betul-betul guru saya dalam politik dan untuk terus dalam politik memang banyak ilmu daripadanya saya pelajari," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas selesai upacara pengebumian di Taman Perkuburan Orang-orang Islam Kampung Kebatu dan Kampung Kabidang pada Ahad.

Sementara itu, ADUN Lumadan yang juga merangkap Timbalan Presiden I, Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Ruslan Muharam, menyifatkan kehilangan Janang Gayuh atau pemimpin agung bagi masyarakat Bisaya amat dirasai oleh seluruh rakyat di daerah ini.

"Beliau banyak menabur jasa dan bakti kepada masyarakat Bisaya dan seluruh rakyat di negeri ini. Hala tuju arwah mahu melihat masyarakat Bisaya bersatu padu dalam semua keadaan, setaraf dengan bangsa lain, selain mahu masyarakat Bisaya berpendidikan tinggi.

"Beliau juga banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar dalam persatuan dan memberi kepercayaan kepada saya, sudah pasti perjuangan beliau perlu ada kesinambungannya," katanya.

Lajim, 66, disahkan meninggal dunia oleh isterinya, Datuk Seri Normilah Siong pada jam 6.23 pagi di Hospital KPJ, Kota Kinabalu selepas ditidurkan pada Selasa lalu akibat dijangkiti Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu pernah menjadi ADUN Klias pada 1985 hingga 2008 sebelum berpindah ke kerusi Parlimen Beaufort (2008-2013) dan kembali menjadi ADUN Klias dari 2013 hingga 2018.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan selama setahun pada 2008 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2009 hingga 2012.

Lajim memulakan kerjaya politik selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985 dan kekal dalam parti itu sehingga 1994.

Pada 1994, Lajim bersama beberapa pemimpin PBS lain menyertai UMNO untuk mengembalikan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

Ketika bersama UMNO, Lajim pernah menjadi Ketua UMNO Beaufort dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum mengumumkan keluar daripada parti itu pada 2012.

ARTIKEL BERKAITAN: Lajim selamat dikebumikan

Lajim meninggal dunia akibat Covid-19

Lajim ditidurkan selepas dijangkiti Covid-19