Lajim ditidurkan selepas dijangkiti Covid-19

Lajim
Lajim
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Lajim Ukin, dilaporkan ditidurkan pada tengah hari Selasa susulan dijangkiti Covid-19.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) difahamkan dijangkiti virus Covid-19 dan keadaan kesihatan beliau merosot sejak Isnin.

Ketua Bersatu Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara itu.

"Ya, beliau kini sakit tenat akibat jangkitan Covid-19. Beliau sudah lapan hari dimasukkan ke Hospital KPJ dan baru-baru ini dia ada memaklumkan bahawa sudah sihat dan mahu pulang (ke rumah)," katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, bahawa Lajim kemudian tenat.

"Pagi tadi jam 10 lebih kami ada 'video call'. Memang dia sakit tenatlah," katanya.

Sementara itu, difahamkan Lajim dimasukkan ke hospital itu sejak 13 Ogos lalu dan sehari sebelum menerima rawatan, beliau mengikuti satu lawatan kerja di Kudat.

Beliau kemudian mengatakan berasa kurang sihat ketika berada di rumahnya pada sebelah malam 12 Ogos lalu sebelum dibawa ke Hospital Gleneagles bagi mendapatkan rawatan dan disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian PCR dan RTK.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, akaun Facebook Pejabat Datuk Azizah Mohd Dun membuat hantaran bahawa satu majlis bacaan Yassin dan doa selamat diadakan bagi mendoakan kesihatan Lajim yang dijangkiti Covid-19.