X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Menteri, timbalan menteri berazam jayakan kabinet Keluarga Malaysia

Eddin Syazlee Shith, Reezal Merican, Idris Ahmad
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pertama kali dilantik menganggotai barisan kabinet, Naib Presiden Pas Idris Ahmad berdoa diberikan kekuatan, kesihatan dan integriti untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Alhamdulillah, syukur atas pelantikan ini,” kata Idris, 58, kepada Bernama.

Idris berkata, beliau akan meneruskan dan memperkasakan Dasar Manhaj Rabbani iaitu dasar pentadbiran Islam yang berpaksikan tiga ciri utama -- Thaqafah (keilmuan), Ruuhaniyyah (kerohanian) dan Da’wah (aktivisme) seperti yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini.

Idris antara muka baharu yang diberi kepercayaan menyertai kerajaan Persekutuan di bawah Kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain bekas Menteri Besar Perak yang juga Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Muka baharu lain dalam barisan kabinet ialah Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaludin Alias yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Zawawi Salleh yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II.

Ismail Sabri padaJumaat mengumumkan senarai barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' melibatkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan yang akan menjadi pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat, serta 38 timbalan menteri.

Sementara itu, Jalaluddin yang menyifatkan tanggungjawab baharu itu sebagai amanah dan cabaran, berazam memberikan perkhidmatan terbaik

“Saya juga ingin mengingatkan kepada diri ini bahawa lantikan ini satu cabaran untuk memenuhi aspirasi kerajaan dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat dan bukan setakat mengisi kekosongan jawatan (timbalan menteri)," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang terus diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai menteri kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri komited untuk memastikan ekonomi negara terus mara atas pertumbuhan mampan dan pemulihan lestari demi Keluarga Malaysia.

“Terima kasih YAB @IsmailSabri60 atas kepercayaan dan amanah untuk saya kekal memimpin

@MITIMalaysia. Back to serve (Berkhidmat kembali),” katanya dalam catatan di Twitter.

Khairy Jamaluddin yang dipertanggungjawab menerajui Kementerian Kesihatan menzahirkan penghargaan kepada perdana menteri atas pelantikannya dan akan menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh.

“Terima kasih kepada YAB PM, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberi. Insya-Allah, amanah yang sangat berat ini akan saya pikul dengan bersungguh demi Keluarga Malaysia,” katanya.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bertukar portfolio sebagai Menteri Pertahanan memberi jaminan akan menggalas tugas sebaiknya demi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sangat berjasa kepada negara.

“Kepercayaan PM Ismail Sabri Yaakob untuk saya kembali menerajui Kementerian Pertahanan Malaysia amat dihargai. Insya-Allah, will do my utmost best (saya akan melakukan yang terbaik),” kata Ahli Parlimen Sembrong itu dalam hantaran di laman Twitternya.

Bagi Datuk Seri M.Saravanan yang kekal memegang portfolio sebagai Menteri Sumber Manusia, berkata dasar kementerian yang diperkenalkannya sebelum ini akan diteruskan dan ditambah baik.

Bercakap dalam program khas 'Kabinet Baharu Malaysia' di Bernama TV, beliau berkata dasar sedia ada khususnya soal pengurusan pekerja asing dan jaringan keselamatan pekerja akan diberi lebih perhatian.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi catatan di Twitter pula berkata: “Terima kasih YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob @IsmailSabri60 atas kepercayaan kepada saya mengkhidmati Keluarga Malaysia di @kpkt_gov. Segalanya Demi Malaysia.”

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith yang pernah berkhidmat dalam tiga portfolio berbeza sebelum ini, diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

“Saya berasa teruja dapat berkerja dengan pemimpin berpengaruh serta berpengalaman seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), banyak pengalaman baharu yang akan saya pelajari daripada beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berkata, walaupun sudah berada dalam Kementerian Kewangan dalam kerajaan sebelum ini, namun ia bukan tiket selesa buat dirinya yang kini 'meningkat satu anak tangga' daripada jawatan dahulu ke Timbalan Menteri Kewangan I.

"Sudah pasti banyak tugasan menanti kami bersama Menteri Kewangan sebelum ini (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) untuk mencari jalan mengurangkan permasalahan rakyat dan agenda anak muda khususnya untuk dibawa ke pembentangan Belanjawan 2022 yang dijangka Oktober ini," katanya.

Seorang lagi yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II ialah Yamani Hafez Musa dari Sabah.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, 'kepulangannya' ke jawatan sebelum ini membolehkannya meneruskan agenda pembangunan perumahan bagi memastikan masyarakat dapat mempunyai kediaman sendiri yang merupakan perkara asas setiap keluarga.

Bagi Datuk Seri Ti Lian Ker yang kini bertukar ke Kementerian Belia dan Sukan sebagai Timbalan Menteri atas kapasiti senator berkata, antara agenda utamanya ialah menyediakan peluang pekerjaan termasuk membantu mereka yang mencari kerja menerusi portalnya Kelab Harmoni Malaysia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menerusi kenyataan di akaun media rasminya mengucapkan terima kasih kepada Ismail Sabri atas pelantikanya sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I dan memohon doa semua pihak agar beliau dapat merealisasikan azam membangunkan masyarakat luar bandar.

Datuk Ahmad Amzad Hashim yang sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi 2020-2030 dapat terus diperkasa dalam merealisasikan Malaysia sebagai negara berpendapatan dan berteknologi tinggi menjelang 2030.

“Seperti disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), Covid-19 dijangka akan terus ada dalam kehidupan kita sebagai Endemik. Kerana itu kita kena terus pacu penggunaan ‘low touch technology’ yang mengurangkan sentuhan dan interaksi fizikal dalam sektor sosial dan pekerjaan,” katanya.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin menganggap pelantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) satu amanah dan nekad melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin.

"Saya hargai kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mencadangkan nama saya. Saya akan pastikan khidmat saya nanti tidak hanya terhad kepada tempoh 100 hari sahaja, sebaliknya sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan turut nekad memberi perkhidmatan terbaik memandangkan sektor pertanian, perikanan dan pertanian merupakan satu perkhidmatan perlu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berharap Kabinet baharu dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, integriti dan amanah demi Keluarga Malaysia, manakala Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mahu keutamaan diberikan untuk membawa negara keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19.

Bagi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, gabungan muka lama dan baharu diyakini dapat memastikan isu penularan Covid-19 dan pengurusan ekonomi ditangani dengan baik.

Bagaimanapun beliau mengakui berasa agak terkilan kerana tiada menteri penuh yang dilantik dari Terengganu, namun Ahmad Samsuri tetap percaya senarai Kabinet itu akan berkhidmat dengan penuh keadilan untuk rakyat seluruh negara. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!