Permintaan ketum dijangka meningkat

Sumber: PDRM
Sumber: PDRM
A
A
A

SHAH ALAM - Permintaan daun ketum di negara ini dijangka meningkat susulan tindakan kerajaan Thailand mengeluarkan tumbuhan itu daripada senarai dadah berbahaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, aktiviti penyeludupan tumbuhan itu juga mungkin akan semakin meningkat kerana permintaan bahan terlarang itu akan bertambah.

“Sebelum kerajaan negara itu mengumumkan perkara itu, permintaan ketum di Malaysia pada ketika ini pun tinggi, hasilnya rampasan ketum di Perlis dan Kedah juga banyak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Razarudin bagaimanapun memaklumkan, kawalan sempadan negara yang ketat melalui Ops Benteng akan menyukarkan aktiviti sindiket penyeludupan ketum.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya akan melipatgandakan penugasan pemantauan di sempadan Malaysia-Thailand untuk mengekang individu atau kumpulan sindiket penyeludupan ketum.

“Kita akan memberkas individu atau sindiket yang menggunakan laluan ‘tikus’ di sempadan untuk menyeludup tumbuhan itu,” katanya.

Pada Selasa, media melaporkan Thailand mengeluarkan ketum daripada senarai dadah berbahaya sekali gus membolehkannya digunakan secara terbuka.

Bagaimanapun, tindakan itu dikritik pengawal selia perubatan beberapa negara lain sebagai tidak selamat kerana wujud risiko ketagihan dan penyalahgunaan.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri dalam satu kenyataan berkata, pindaan terbaharu undang-undang di Thailand itu bermakna tanaman ketum kini boleh digunakan, dimakan, diminum atau dijual beli secara sah di negara berkenaan.


Zainal Abidin
Zainal Abidin

Ketum masih bawah Akta Racun

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penyalahgunaan ketum masih lagi dikuatkuasakan di bawah Akta Racun di negara ini.

“Di negara kita, ketum masih lagi menjadi kesalahan, cuma, tanam tak salah tapi jika bawa ia sudah menjadi satu kesalahan yang boleh disaman atau dituduh ke mahkamah di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tindakan Thailand yang mengiktiraf ketum sebagai bukan bahan larangan.

“Itu lain, apa yang pasti, Akta Racun masih mengawal selia penggunaan ketum dan masih menjadi satu kesalahan (di Malaysia),” katanya.

Thailand pada Selasa mengeluarkan ketum, sejenis daun hijau yang sekian lama digunakan sebagai ubat herba, daripada senarai dadah berbahaya.

No Image Caption

Phil Robertson daripada Human Rights Watch berkata, kebenaran menggunakan daun ketum yang tumbuh di Thailand, Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea adalah sangat ‘dialu-alukan’.

“Penggunaan daun ketum secara sah di Thailand akan menamatkan tafsiran negatif mengenai penyalahgunaan ubat-ubatan yang sekian lama digunakan dalam masyarakat tradisional luar bandar di negara ini,” kata Robertson.

Daun ketum, atau nama saintitifknya, Mitragyna speciosa digunakan selama berabad-abad di Asia Tenggara dan Papua New Guinea bagi tujuan menghilangkan kesakitan dan memberikan rasa khayal.

Bagaimanapun, penggunaan daun itu yang semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS memberi amaran bahawa ia mungkin tidak selamat selain bimbang risiko ketagihan dan penyalahgunaan.

Setakat ini, daun ketum belum mendapat larangan daripada pihak berkuasa antarabangsa.