Tiga beradik sakit kronik terima vaksin di rumah

Petugas PPV UniSZA memberi suntikan kepada Rozelan yang terlantar akibat angin ahmar di rumahnya di Kampung Teluk Pasu pada Selasa.
Petugas PPV UniSZA memberi suntikan kepada Rozelan yang terlantar akibat angin ahmar di rumahnya di Kampung Teluk Pasu pada Selasa.
A
A
A

KUALA NERUS - Tiga beradik pesakit kronik di Kampung Teluk Pasu, di sini lega kerana menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di rumah mereka sendiri pada Selasa.

Zaleha Awang, 62, hilang kaki kiri akibat penyakit kencing manis, adiknya, Rozelan, 54, terlantar kerana angin ahmar sejak sembilan bulan lalu dan Yusof, 44, kini sedang mendapat rawatan kerana menderita diabetes.

Akibat masalah kesihatan itu, Zaleha dan Rozelan hanya terlantar di rumah dan tidak mampu untuk bergerak ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

Yusof yang mengalami jangkitan pada kaki kanan berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana pasukan perubatan UniSZA sudi hadir ke kediaman mereka memberi suntikan tanpa perlu hadir ke PPV.

"Saya, abang dan kakak semuanya sakit dan uzur, jadi kami tak mampu ke PPV tambahan pula kami tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak ke mana-mana," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Teluk Pasu, di sini.

Semua mereka menerima vaksin jenis Pfizer secara mobile dari pasukan perubatan PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak yang hadir ke rumah mereka pada Selasa.

Selain itu, ibu mereka, Mariam Yusof, 78, kakak, Shani Awang, 50, dan sepupunya Najihah Awang@Yong, 27 yang menguruskan keperluan tiga beradik tersebut turut menerima suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, Penyelaras Data PPV IPT (Integrasi) UniSZA, Norkhairani Abdul Rawi berkata, pihaknya hadir ke rumah keluarga Mariam selepas mendapat maklumat tentang kekangan yang dihadapi mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kami hubungi client dari MySejahtera dan dapati mereka terpaksa menolak janji temu suntikan vaksin di PPV UniSZA kerana kekangan fizikal sedangkan dalam MySejahtera tidak dinyatakan mereka orang kurang upaya (OKU).

"Selepas berbincang dengan pengurusan, kami bersama lapan petugas hadir ke sini untuk memberi suntikan di rumah dan enam penerima vaksin hari ini akan terima suntikan kedua mereka dalam tempoh tiga minggu lagi," katanya.