PPIK rayu Kelantan buka masjid

Masjid Al-Ismaili. - Foto internet (Gambar kecil: Mohd Fared)
Masjid Al-Ismaili. - Foto internet (Gambar kecil: Mohd Fared)
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) merayu kepada pihak berwajib mempertimbangkan kebenaran bagi masjid-masjid utama di seluruh daerah di negeri ini beroperasi mengikut kapasiti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Mohd Fared Abdul Ghani berkata, SOP tersebut malah boleh diperketatkan lagi bagi memastikan keselamatan jemaah terus terjamin ketika pandemik Covid-19 masih belum reda.

“Misalnya memberi keutamaan kepada jemaah yang lengkap vaksinasi dua dos selain memakai pelitup muka dan penjarakkan fizikal.

“Melakukan sanitasi masjid setiap kali sebelum dan selepas mengerjakan ibadat solat,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru golongan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil membantu menyalurkan dana kepada masjid yang berdepan masalah kewangan bagi menyediakan kemudahan untuk tujuan berkenaan.

Menurutnya, sumbangan itu amat diperlukan bagi menyediaan peralatan sanitasi selain bayaran elaun kepada pekerja berkaitan.

“Usaha ini juga bertujuan agar masjid dapat diimarahkan sepanjang masa.

"Jadi, sudah tiba masanya masjid dibuka mengikut SOP ketat setelah kira-kira empat bulan hanya beroperasi dengan empat orang jemaah sahaja berikutan pandemik Covid-19," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, melihat kepada situasi semasa kini adalah wajar masjid juga kembali dibuka memandangkan beberapa sektor awam juga sudah dibenarkan beroperasi.

“Pasaraya, kedai-kedai makan sekarang dibenarkan beroperasi. Orang yang sudah lengkap vaksin dibenarkan makan di kedai dengan mematuhi SOP. Begitu juga dengan pelancongan domestik telah dibenarkan. Jadi, tidak ada sebab masjid belum boleh dibuka lagi.

“Kalau diambil kira tempat-tempat seumpama itu pastinya akan lebih sesak, bahkan selalunya mereka akan mengambil masa yang lebih panjang di situ berbanding masjid hanya memakan masa tidak sampai 20 minit untuk selesaikan ibadat solat,” katanya.

Justeru, pihaknya berasa bertanggungjawab perhubung perkara itu berikutan rungutan orang ramai yang meminta agar kerajaan segera membenarkan solat jemaah di masjid mengikut kapasiti dengan mematuhi SOP ditetapkan.