Persatuan Pengguna Pulau Pinang rayu PM batal projek PSI

Mohideen
Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membatalkan projek Selatan Pulau Pinang (PSI) kerana ia memberi impak negatif kepada komuniti nelayan terlibat.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, projek mega bernilai RM46 bilion itu hanya akan merosakkan alam sekitar, keterjaminan makanan, iklim dan demografi Pulau Pinang.

Tegasnya, projek PSI juga akan mengakibatkan kemusnahan kepada kawasan perikanan penting di Pulau Pinang, sekali gus menjejaskan pendapatan lebih 3,000 nelayan dan keluarga mereka.

"Kami memohon agar Perdana Menteri membatalkan projek PSI ini kerana selain ia merupakan satu pembaziran, ia akan memberi impak buruk kepada alam sekitar. Kerosakkan pada alam sekitar akibat daripada projek ini tidak akan dapat dipulihkan sekali gus menjejaskan komuniti nelayan.

"Kami mengalu-alukan kenyataan Anwar baru-baru ini yang menyatakan kebimbangannya terhadap projek tersebut. Jika ia diteruskan juga, ia mengakibatkan kerosakkan teruk kepada alam sekitar yang bercanggah dengan rangka kerja dasar Madani iaitu salah satu tonggaknya ialah menggalakkan pembangunan mampan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat CAP di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, kerajaan Pulau Pinang perlu menjelaskan alasan kerana masih mahu meneruskan projek penambakan tersebut walau pun mengetahui kesan ekologi dan sosialnya yang sangat teruk.

"Pada mulanya, kerajaan negeri pimpinan DAP memberi justifikasi bahawa projek penambakan mega ini perlu untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) memandangkan kerajaan persekutuan ketika itu yang dikuasai oleh Barisan Nasional tidak menyokongnya.

"Bagaimanapun, keadaan ketika ini telah berubah selepas BN merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang bersedia untuk menyediakan dana diperlukan bagi membiayai penambahbaikan sistem pengangkutan sedia ada untuk mengatasi kesesakan lalu lintas," katanya.

Mohideen berkata lagi, sekiranya projek tiga pulau menerusi projek PSI itu berjaya, ia akan menyebabkan komuniti nelayan yang tinggal di situ dipindahkan.

"Ia akan membawa kepada perubahan demografi yang besar kepada komuniti nelayan tempatan yang mana, mereka yang berada dalam golongan B40 akan dipindahkan untuk mencari perlindungan di tempat yang lain.

"Tempat mereka ini akan diambil alih oleh penduduk tempatan dan warga asing yang kaya dari China, Hong Kong dan negara barat. Adakah dengan memihak kepada golongan elit kaya tempatan dan asing ini selaras dengan prinsip Madani?" kata beliau.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu memerlukan 4,500 ekar laut yang merupakan penyerap karbon penting, untuk ditambak dengan pasir dan tanah selain akan menghasilkan 3.2 juta tan pelepasan karbon setahun, yang melanggar komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris.

Pelan Projek PSI yang melibatkan tiga buah pulau.
Pelan Projek PSI yang melibatkan tiga buah pulau.

"Jumlah pasir yang diperlukan bagi projek itu ialah 190 juta meter padu, yang akan diperolehi daripada perairan Pulau Pinang dan Perak. Ini bersamaan dengan isi padu pasir yang boleh mengisi 75,000 kolam renang bersaiz Olimpik, seterusnya merosakkan kawasan di mana pasir itu dilombong.

"Oleh itu, CAP merayu kepada Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan supaya tidak menyokong Projek PSI. Anggaran kos bagi penambakan ialah RM16 bilion dan ini boleh digunakan untuk meningkatkan taraf kehidupan golongan miskin dan terpinggir, menyediakan penjagaan kesihatan, pendidikan yang lebih baik serta meningkatkan lalu lintas," katanya.

Mohideen berkata lagi, politik dan kronisme tidak boleh dibiarkan mendahului kepentingan, kebajikan rakyat, keadilan sosial serta alam sekitar.

Sementara itu, Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara) akan berjumpa dengan pegawai kepada Setiausaha Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai projek tersebut.

Pengerusi PenMutiara, Ibrahim Che Rose berkata, beliau telah dihubungi pegawai setiausaha kepada Perdana Menteri berhubung perjumpaan tersebut.

"Saya telah dihubungi pegawai Setiausaha Perdana Menteri yang menyatakan beliau bersetuju untuk mengadakan perjumpaan dengan kami pada hari ini (Jumaat).

"Perjumpaan akan diadakan pada jam 10 pagi di Restoran PenMutiara di Batu Maung. Saya dimaklumkan bahawa seramai 10 pegawai akan menyertai perjumpaan tersebut.

"Sebarang perkembangan atau keputusan, akan saya maklumkan nanti," katanya ketika dihubungi.