Covid-19: Tiga kluster komuniti dikesan di Sarawak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Tiga lagi kluster komuniti baharu diisytiharkan di Sarawak pada Ahad, masing-masing di kawasan Serian, Tatau dan Kuching, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak memaklumkan, Kluster Kampung Lintang Baru di Serian melibatkan penduduk di kampung terbabit dengan seramai 62 individu didapati positif Covid-19 termasuk kes indeks, hasil saringan ke atas 92 individu.

“Kluster Sungai Penyarai 2 di Tatau pula melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang yang mempunyai sejarah menghadiri upacara pengebumian di sebuah rumah panjang lain yang telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan 57 individu didapati positif Covid-19 termasuk kes indeks setakat ini,” menurut JPBN Sarawak dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Kluster Kampung Matang Lot di Kuching melibatkan sejumlah penduduk di kampung berkenaan dengan seramai 21 individu didapati positif Covid-19 termasuk kes indeks hasil saringan ke atas 100 individu.

Pada Ahad, Sarawak merekodkan 1,772 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 98,300 manakala jumlah kematian akibat pandemik di negeri itu meningkat kepada 498 orang susulan satu kes kematian baharu pada Ahad. - Bernama

Artikel Berkaitan: