Dakwaan rasuah OCPD: SPRM tahan tiga lagi polis

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan dua pegawai dan seorang anggota polis bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah melibatkan seorang Ketua Polis Daerah (OCPD) di negeri ini.

SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, inspektor berusia 37 dan 38 tahun serta koperal, 43, itu ditahan bersama seorang lagi lelaki warga tempatan, 37, selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di sini petang tadi.

Pada Selasa lalu, SPRM menahan ketua polis daerah itu bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah secara bulanan antara RM20,000 hingga RM50,000 yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta sejak tahun 2017 hingga 2022.

Suapan itu didakwa bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut sekitar daerah berkenaan daripada aktiviti penguatkuasaan yang boleh mengganggu perniagaan mereka.

Pada kenyataan sama, SPRM juga memaklumkan penahanan dua anggota penguatkuasa imigresen berusia 41 dan 49 tahun untuk membantu siasatan dakwaan menerima rasuah daripada pemilik pusat urut bagi mempercepatkan proses pembaharuan permit kerja warga asing.

Siasatan dijalankan di bawah seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tahan OCPD disyaki terima suapan lebih RM1 juta

Mahkamah tolak permohonan reman OCPD