Prestasi syarikat dinilai sebelum diberikan dana ISBSF

Anthony Loke bergambar bersama sebahagian pelajar sekolah selepas melancarkan Perkhidmatan Bas Percuma Bagi Pelajar-Pelajar Sekolah Terpilih Daerah Jelebu dan Jempol hari ini. - Foto Bernama
Anthony Loke bergambar bersama sebahagian pelajar sekolah selepas melancarkan Perkhidmatan Bas Percuma Bagi Pelajar-Pelajar Sekolah Terpilih Daerah Jelebu dan Jempol hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JELEBU - Prestasi syarikat dan sejauh mana manfaat perkhidmatan kepada rakyat yang diberikan syarikat pengendali bas henti-henti antara aspek yang akan dinilai untuk menerima Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF), tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika ini 165 syarikat pengendali bas henti-henti di seluruh semenanjung menerima ISBSF.

“Sebelum kita tandatangan kontrak dengan syarikat-syarikat ini memang kita lihat sama ada mereka telah jalankan perkhidmatan dengan baik, kita akan lihat laluan-laluan.. adakah laluan-laluan itu benar-benar beri manfaat kepada rakyat dan adakah ia benar-benar menyelesaikan masalah pengangkutan di kawasan itu.

“Kita kena lihat semua aspek ini sebelum kita tandatangan kontrak yang baharu dengan syarikat pengendali bas henti-henti ini supaya subsidi ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya khususnya dalam membantu rakyat,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Perkhidmatan Bas Percuma Bagi Pelajar di Sekolah Terpilih Daerah Jelebu dan Jempol di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anthony berkata, pihaknya sedang menyelesaikan tuntutan bagi tahun 2018 yang dibuat syarikat pengendali bas henti-henti bagi membolehkan mereka mendapatkan bantuan ISBSF ini dan dijangka ia akan diselesaikan suku pertama tahun ini.

“Bantuan ISBSF ini pihak syarikat kena beri perkhidmatan dahulu kemudian mereka perlu buat tuntutan dan kita akan berikan bantuan untuk tampung perbelanjaan mereka. Apabila syarikat-syarikat ini dapat dana sokongan mereka boleh terus beroperasi dan tidaklah timbul isu mereka terpaksa tampung kerugian kerana kurangnya permintaan khususnya di luar bandar.

“Kerajaan juga perlu bagi dana ini kerana jika tidak, tiada perkhidmatan bas terutama sekali di kawasan luar bandar. Sebab itu memang dana ini makan belanja besar dianggarkan setahun lebih RM1 juta subsidi yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, mengenai Perkhidmatan Bas Percuma Bagi Pelajar di Sekolah Terpilih Daerah Jelebu dan Jempol, Anthony berkata, perkhidmatan itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat sebuah syarikat swasta yang juga merupakan penerima dana ISBSF.

Artikel Berkaitan:

“Tawaran yang diberikan syarikat Gopi Travel & Tours ini satu usaha yang amat baik bagi membantu meringankan beban ibu bapa, saya tidak boleh tolak, kalau saya tolak ia seperti menafikan hak ibu bapa untuk mendapat kebaikan dari tawaran ini.

“Tetapi dalam masa yang tawaran perkhidmatan ini bukanlah untuk mengganggu periuk nasi pengendali bas sekolah kerana bas henti-henti ini hanya akan lalu di laluan asalnya dan tidak akan masuk ke kawasan perumahan dan tidak akan turun dihadapan sekolah kecuali laluannya memang berhampiran sekolah.

Anthony berkata, bagaimanapun sekiranya benar dengan kewujudan perkhidmatan bas percuma dari syarikat ini menjejaskan pendapatan pengendali bas sekolah, maka ia akan dilihat semula.

Tambahnya, perkhidmatan itu bakal memanfaatkan kira-kira 300 pelajar yang tinggal di sepanjang laluan bas henti-henti ini.

Perkhidmatan Bas Percuma Bagi Pelajar di Sekolah Terpilih Daerah Jelebu dan Jempol akan melibatkan tiga laluan pergi balik iaitu Simpang Pertang ke Kuala Kelawang; Simpang Pertang ke Batu Kikir dan Simpang Pertang ke Simpang Pelangai dan murid sekolah yang hanya berpakaian uniform sekolah termasuk baju sukan akan diambil.

Senarai Sekolah yang terpilih antaranya Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Pertang, Sekolah Kebangsaan Serting Ulu, Simpang Pertang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teriang Hilir, Simpang Durian dan SMK Batu Kikir. - Bernama