Ismail Sabri mempunyai majoriti sebagai PM

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengadakan sidang akhbar selepas keluar dari Istana Negara. - FOTO ROSLI TALIB
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengadakan sidang akhbar selepas keluar dari Istana Negara. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan kesemua 114 ahli Parlimen yang menghadiri pertemuan di Istana Negara pada Khamis menyatakan sokongan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Menurut Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, bersandarkan sokongan sebulat suara itu Ismail Sabri kini mempunyai majoriti untuk memegang jawatan pemimpin nombor satu negara.

Ahmad berkata, sokongan yang diterima Ismail Sabri itu terdiri daripada ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN); Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Pada hari ini, 114 ahli Parlimen yang memberikan sokongan akuan bersumpah (SD) kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri telah ditemuduga secara ringkas seorang demi seorang oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Dalam pertemuan ringkas itu, setiap ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri tanpa paksaan dan dilakukan dengan sukarela. Itulah antara dialog ahli Parlimen terutamanya saya sendiri kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Dengan jumlah 114 ahli Parlimen menyokong, maka kita faham dan sedia maklum kedudukan majoriti berpihak kepada Ismail Sabri," katanya pada sidang akhbar di pintu 2 Istana Negara pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan berkenaan, Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO menyifatkan ia pengalaman penting sepanjang karier politiknya.

"Situasi ini bukan sahaja pada diri saya tetapi tentunya kepada ahli Parlimen lain yang terlibat dalam pertemuan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya sama ada isu berkaitan pembentukan kabinet kerajaan baharu turut dibincangkan dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Ahmad mengesahkan tiada sebarang perbincangan lain.

"Tidak ada tentang kabinet dibincangkan. Hanya khusus pengesahan terhadap Ismail Sabri," katanya.

Beliau dalam masa sama turut berharap agar kerajaan baharu yang akan diterajui Ismail Sabri itu terus membela rakyat dan menyelesaikan isu Covid-19 serta ekonomi negara.

Tambahnya, beliau secara peribadi turut berharap agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) segera dilaksanakan sebaik pandemik Covid-19 reda.

"Apabila keadaan telah stabil khususnya Covid-19 dalam tempoh tidak lama pada pandangan saya, kita perlu kembalikan mandat kepada rakyat," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan ahli Parlimen daripada GPS, BN dan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Pas dan Bersatu dijangka ke Istana Negara pada jam 10 pagi.

Difahamkan kehadiran ahli Parlimen pro-PN itu untuk mengesahkan SD sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri.

Sesi menghadap ahli Parlimen itu dijadualkan berlangsung dalam lima sesi berasingan mengikut parti masing-masing.

Jam 4 petang pada Rabu merupakan tempoh terakhir untuk semua ahli Dewan Rakyat menghantar SD nama calon Perdana Menteri pilihan mereka secara rasmi.

Ia selepas notis dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Selasa agar kesemua ahli Dewan Rakyat mengemukakan surat akuan berkenaan secara bertulis dan disahkan benar.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu menitahkan Perdana Menteri dilantik hendaklah segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin berkata, titah Seri Paduka Baginda itu selaras seperti diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.