Jenayah terancang: 3 lagi ahli Geng Sakai didakwa di bawah SOSMA

Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ antara Januari 2015 dan Jun 2021.
Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ antara Januari 2015 dan Jun 2021.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lagi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ antara Januari 2015 dan Jun 2021.

Mereka ialah Sukhdave Singh Jesvir Singh, 20, R. Logeswaran, 23, dan A Jayaprakash, 18, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim MM Edwin Paramjothy.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mereka yang didakwa melakukan perbuatan itu di Flat Sri Selangor di sini antara Januari 2015 dan 20 Jun 2021, dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, Nur Ainaa Ridzwan, Maryam Jamielah Manaff dan Rajdeep Singh Bhupinder Singh manakala peguam R. Kirthiraj mewakili Logeswaran sementara dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes ketiga-tiga tertuduh dan kes 19 lelaki yang didakwa sebelum ini atas pertuduhan sama ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 Julai lepas, seramai 19 lelaki termasuk Rosli Sahak (dipercayai ketua kumpulan itu yang digelar Sakai) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sama atas pertuduhan serupa. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Geng Sakai tumpas, 24 ahli diberkas

Artikel Berkaitan:

Jenayah terancang: 19 ahli Geng Sakai didakwa di bawah SOSMA