'Nyanyi Negaraku, tetapi jual semua khazanah negara' - Shuhaily

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan menyanyikan lagu Negaraku sebagai tanda kecintaan kepada tanah air tidak membawa makna sekiranya pada masa sama khazanah negara terus dijarah dan diseludup keluar demi kepentingan pihak tertentu.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kegiatan penyeludupan bukan hanya melibatkan barangan larangan dan pemerdagangan manusia, sebaliknya turut merangkumi khazanah biodiversiti serta hidupan liar yang menjadi warisan negara.

Menurutnya, skop penguatkuasaan AKPS perlu dilihat secara lebih menyeluruh kerana agensi itu turut berdepan cabaran membanteras penyeludupan haiwan terancam, termasuk kegiatan menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum hidupan liar dibawa ke destinasi lain.

“Kita menyanyi lagu Negaraku, tetapi di belakang kita jual semua yang ada dalam negara kita.

"Kami di sempadan melihat...kita tangkap binatang-binatang yang sememangnya dalam keadaan pupus, ungka dan sebagainya yang dibawa keluar daripada negara kita.

"Ada juga yang menggunakan negara kita sebagai transit untuk binatang-binatang ini keluar," ujar Mohd Shuhaily ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa di Zoo Negara, di sini, pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, AKPS mencatat rampasan biosekuriti bernilai RM89.7 juta, melibatkan 9,263 kes dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Tegas Mohd Shuhaily, AKPS memerlukan kerjasama lebih erat dengan agensi berkaitan, termasuk Zoo Negara serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), bagi memperluas kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara biodiversiti negara.

Menurutnya, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan khazanah semula jadi negara tidak terus dieksploitasi sehingga menyebabkan Malaysia kehilangan spesies hidupan liar yang menjadi sebahagian warisan berharga. - Awani

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!