Lelaki maut dibunuh, dua rakan ditahan

IPOH - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah rumah dalam kawasan kebun di Kampung Raja Hitam, Ayer Tawar dekat Manjung, pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mangsa daripada seorang lelaki tempatan menerusi Balai Polis Ayer Tawar pada jam 8.27 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota polis kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut.
"Mayat mangsa yang merupakan warga Myanmar ditemukan di lokasi kejadian dan bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta menentukan punca kematian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Hasbullah berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menahan kedua-dua suspek yang juga rakan senegara dalam operasi yang dijalankan antara jam 11 pagi hingga 8 malam ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke IPD Manjung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan polis.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke IPD Manjung atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222, WhatsApp 017-6828005 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
