Jenayah terancang: 19 ahli Geng Sakai didakwa di bawah SOSMA

Seramai 19 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ antara Januari 2015 dan Jun 2021. - Foto Bernama
Seramai 19 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ antara Januari 2015 dan Jun 2021. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 19 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ di antara Januari 2015 dan Jun 2021.

Mereka ialah Rosli Sahak (dipercayai ketua kumpulan itu yang digelar Sakai), A Ravindran, A Uthayakumar, S Sathiaseelan, T Kumar, A Kumaresan, N Tanasilan, Thirumal Raj, M Darshan, A Dineswaran, S Mohanraj dan R Nantha Kumar.

Tertuduh lain ialah S Gobinath, M Ravishankar, M Thinesh, N Tannish, S.Sagadevan, Mohamad Faisal Mohamad Sharif dan G Sivanamtham.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 18 hingga 47 tahun selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Flat Sri Selangor di antara Januari 2015 dan Jun 2021 mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, Nur Ainaa Ridzwan, Maryam Jamielah Manaff dan Rajdeep Singh Bhupinder Singh manakala 17 tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent, T Harpal Singh, Jay Moy Wei Jiun, Wan Zaleha Abdul Wahab, P Taneswaran serta K. Komagan dan dua lagi tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Harpal memohon mahkamah membenarkan dua anak guamnya (Rosli dan Mohamad Faisal) diikat jamin atas alasan Seksyen 13 Akta SOSMA tidak berperlembagaan dan permohonan itu disokong oleh peguam lain.

Bagaimanapun, Maryam Jamielah membantah permohonan itu atas alasan kesalahan di bawah SOSMA tidak boleh dijamin.

Artikel Berkaitan:

Hakim M.M. Edwin Paramjothy menetapkan 6 Ogos untuk sebutan semula kes dan keputusan berhubung permohonan jaminan oleh pembelaan. - Bernama