X

Kindly register in order to view this article
!

Geng Sakai tumpas, 24 ahli diberkas

Azmi melihat gambar individu yang disyaki dapat membantu siasatan berkaitan kes Geng Sakai.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan `Geng Sakai' yang aktif melakukan aktiviti jenayah terancang sejak sembilan tahun lalu selepas memberkas 24 individu dalam serbuan berasingan di lima negeri pada Ahad.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua lelaki berusia 14 hingga 47 tahun itu ditahan di Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur dan Terengganu.

"Hasil daripada tangkapan itu, kita merampas dadah syabu seberat 318.6 gram dan heroin 445.5 gram yang dianggarkan bernilai RM9,000.

"Kita turut merampas wang tunai sebanyak RM21,665 dan lima buah kenderaan mewah antaranya Porsche Macan, Ford Ranger, Mercedes SUV, BMW dan Mazda CX9 dianggarkan bernilai RM1.7 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, Geng Sakai itu terlibat dalam melakukan jenayah serius seperti bunuh, pemilikan senjata api, pengedaran dadah, jenayah kekerasan dan gengsterisme.

"Keahlian kumpulan itu dianggarkan kira-kira 50 orang dan ia berkembang dari masa ke masa," katanya.

Beliau berkata, ketua kumpulan ini pernah beberapa kali dikenakan tindakan atas kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

"Selain itu, terdapat beberapa ahli kumpulan itu telah ditangkap kerana pelbagai kesalahan jenayah dan dadah, mereka juga pernah diambil tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

"Selepas dibebaskan, ketua dan ahli kumpulan itu kembali aktif melakukan aktiviti jenayah serius melibatkan kes bunuh, pergaduhan kumpulan, menyebabkan kecederaan menggunakan senjata merbahaya dan pengedaran dadah," katanya.

Azmi berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

"Seramai 18 suspek ditahan reman di bawah Prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 Sosma selama 28 hari bermula Ahad hingga 17 Julai.

"Enam lagi suspek diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!