Kontraktor didenda RM1.5 juta palsukan dokumen

Nazrul Idham (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas dijatuhkan hukuman denda RM1.5 juta setelah mengaku bersalah atas enam pertuduhan memalsukan dokumen projek pada 2014 dan 2015.
Nazrul Idham (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas dijatuhkan hukuman denda RM1.5 juta setelah mengaku bersalah atas enam pertuduhan memalsukan dokumen projek pada 2014 dan 2015.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang kontraktor didenda RM1.5 juta selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas enam pertuduhan memalsukan dokumen projek membekalkan dan menyediakan perkhidmatan pakej latihan pusat kecemerlangan industri untuk sebuah program di Universiti Utara Malaysia (UUM) bernilai RM512,090 pada 2014 dan 2015.

Nazrul Idham Abu Nasir, 44 membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Hamri Thamri Mohamad@Shaharudin dan diperintahkan penjara selama tiga tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan pertama hingga lima, tertuduh dengan curang telah menggunakan satu dokumen tulen yang dipercayai palsu iaitu invois Hatching Technology Sdn Bhd masing-masing bernilai RM98,518 bagi membekal dan menyediakan perkhidmatan pakej latihan pusat kecemerlangan industri: pembangunan modal insan dalam sektor pemborongan dan peruncitan.

Pertuduhan pertama dilakukan di sebuah restoran hadapan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 10 Mac 2015, manakala pertuduhan kedua dan ketiga dilakukan pada 26 Mac 2015 di Pusat Kerjasama Universiti Industri (CUIC) UUM.

Pertuduhan keempat dilakukan pada 7 Mei 2015 dan pertuduhan kelima pula dilakukan pada 11 Jun 2015 yang kedua-duanya dilakukan di CUIC UUM.

Bagi pertuduhan keenam pula, pada 30 Januari 2014, bapa kepada tiga anak itu semasa berada di CUIC, UUM dengan curang menggunakan satu dokumen sebagai tulen yang dipercayai palsu iaitu borang pesanan atau perkhidmatan dan invois Hatching Technology Sdn Bhd bagi membekal dan menyediakan pakej latihan dashboard bernilai RM19,500 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 21 Januari 2014.

Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping dan pegumbela tertuduh, Evawani Farisyta Mohammad serta Jamaludin Abdul Jalil kemudian memohon mahkamah mengambil kira hukuman kepada tiga pertuduhan sahaja, manakala tiga lagi pertuduhan menggunakan Take Into Consideration (TIC) mengikut Seksyen 171 A, Kanun Tatacara Jenayah.

Selepas menimbangkan pelbagai perkara termasuk kesalahan pertama tertuduh dan juga kepentingan awam, Hamri Thamri menetapkan denda sebanyak RM500,000 bagi setiap pertuduhan dan 12 bulan penjara jika gagal melunaskan setiap satu daripadanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Hamri Thamri, hukuman yang dijatuhkan adalah mengambil kira kepentingan awam yang jelas melebihi kepentingan peribadi dan setiap hukuman perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Nazrul Idham kemudiannya gagal membayar denda tersebut dan dia dihantar ke Penjara Kamunting, Perak.