Ahli perniagaan didakwa subahat palsukan dokumen RM13.8 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 12 pertuduhan bersubahat bagi memalsukan invois dan pesanan pembelian bernilai RM13.8 juta, tiga tahun lepas.

Ng Shih Chiow, 50, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-10, Shih Chiow didakwa bersubahat dengan Cheng Choon Choon iaitu pengurus syarikat Accucom Solutions PLT dan Golden Infor Services dengan memalsukan 10 invois bernilai RM8.7 juta untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Wisma Revenue, No 12, Jalan Udang Harimau 2, Kepong Business Park di sini, antara 22 Mei 2020 hingga 8 Ogos 2022.

Bagi pertuduhan ke-11 dan ke-12, tertuduh juga didakwa bersubahat dengan Choon Choon yang juga pengurus syarikat Omega Dynasty Sdn Bhd dengan memalsukan dua pesanan pembelian bernilai RM5.1 juta untuk tujuan menipu di lokasi sama, antara 7 April hingga 12 Mei 2022.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Allan Suman Pillai mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa pasport anak guamnya berada dalam simpanan pihak SPRM untuk siasatan lanjut.

Beliau turut memohon wang jaminan dijelaskan sehingga esok atas alasan anak guamnya menghadapi masalah dengan pihak bank kerana akaun dibekukan ketika siasatan selain memaklumkan isteri serta adik tertuduh hadir di mahkamah hari ini sebagai penjamin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri sebulan sekali di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sehingga kes selesai dan menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes. - Bernama