Suami isteri terlepas hukuman mati, menangis peluk ahli keluarga

Syed Mohamad Haizat (kanan) dan Nurul Syahira (kiri) dipeluk ahli keluarga yang menunggu pembebasan mereka di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. FOTO : SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID
Syed Mohamad Haizat (kanan) dan Nurul Syahira (kiri) dipeluk ahli keluarga yang menunggu pembebasan mereka di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. FOTO : SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Sepasang suami isteri menangis sambil disambut pelukan dari ahli keluarga selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis daripada pertuduhan mengedar 81.77 gram dadah jenis pil kuda.

Pesuruhjaya Kehakiman, Azhar Mokhtar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed Mohamad Haizat Syed Hassan, 32, dan isterinya, Nurul Syahira Zakaria, 30, pada akhir kes pendakwaan.

Dalam alasan penghakiman, Azhar berkata, hasil ujian DNA terhadap bungkusan dadah yang ditemui dalam bakul motosikal di dapur rumah serta jaket yang digunakan untuk membungkus dadah berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kedua-dua tertuduh.

Pasangan suami isteri, Syed Mohamad Haizat (kanan) dan Nurul Syahira (kiri) yang dibebaskan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Khamis. 
FOTO : SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID 
Pasangan suami isteri, Syed Mohamad Haizat (kanan) dan Nurul Syahira (kiri) yang dibebaskan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Khamis.  FOTO : SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID 

Menurutnya, keadaan rumah pasangan itu juga membolehkan sesiapa sahaja memasuki premis berkenaan sama ada melalui pintu utama atau bahagian dapur.

“Di sebelah rumah tertuduh pula terdapat kedai basuh kereta dan tiga pekerja premis berkenaan sering menggunakan tandas di rumah tertuduh.

“Mereka sebelum ini sudah ditangkap namun dibebaskan dengan jaminan polis.

“Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tiada sebarang maklumat yang dapat mengaitkan tertuduh kedua, Nurul Syahira dengan dadah yang ditemui,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pasangan suami isteri yang tiba di mahkamah diiringi polis sebelum mahkamah membacakan keputusan. FOTO : SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID
Pasangan suami isteri yang tiba di mahkamah diiringi polis sebelum mahkamah membacakan keputusan. FOTO : SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

Susulan itu, mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Mengikut pertuduhan, pasangan berkenaan didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 81.77 gram itu di sebuah rumah di Batu 19, Kampung Badak, Bachok, pada jam 11 pagi, 20 Mac 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hukuman penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 15 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan.

Syed Mohamad Haizat diwakili peguam Azrul Hashimi Mohammad, manakala Nurul Syahira diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Mohd Zubairi Salleh.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!