Pelajar, 'cikgu' sekolah memandu terlibat kemalangan

MELAKA – Seorang pelajar dan tenaga pengajar sebuah sekolah memandu berdepan detik cemas selepas kereta Perodua Axia yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi di hadapan institut memandu di Kandang pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 20 dan 73 tahun dilaporkan tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.04 petang.
Menurut beliau, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Axia dan Perodua Myvi.
“Terdapat tiga mangsa yang terlibat, terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki dewasa. Pemandu Myvi berusia 22 tahun hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Hafidzatullah berkata, dua mangsa yang tersepit di dalam Perodua Axia berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, operasi menyelamat berjaya dikawal pada jam 1.38 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.04 petang selepas pemeriksaan keselamatan di lokasi selesai dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

