PSU: Talian hayat majikan, pekerja

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ketika isu pengangguran menghambat negara disebabkan impak pandemik Covid-19, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pihak majikan, yang turut terhimpit antara memastikan kelangsungan syarikat dan kebajikan pekerja.

Ramai majikan terpaksa ‘melepaskan’ pekerja mereka kerana sudah tidak mampu menampung bayaran upah disebabkan pendapatan syarikat yang terjejas.

Bagaimanapun, inisiatif kerajaan memperkenal Program Subsidi Upah (PSU) telah memberi harapan buat majikan dan pekerja bagi mendepani waktu sukar ini.

Selepas beberapa siri PSU diumumkan melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi sejak tahun lalu, kerajaan telah membelanjakan lebih RM15 bilion bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun lalu, turut mengumumkan peruntukan RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan 2.5 juta pekerja bagi PSU 4.0.

Menerusi PSU 4.0, penambahbaikan dilaksanakan apabila kerajaan menampung hingga 500 pekerja bagi setiap majikan pada kadar RM600 setiap pekerja, selama dua bulan bagi semua sektor dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh Fasa 3 PPN mulai 1 Ogos dan tiada lagi had gaji bawah RM4,000 ditetapkan.

Ini sedikit sebanyak membantu pihak majikan untuk terus ‘bernafas’ manakala pekerja juga merasa lebih ‘selamat’ daripada tersenarai dalam kakitangan yang akan diberhentikan.

Artikel Berkaitan:

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi kenyataannya kepada Sinar Harian memberitahu, PSU boleh disifatkan sebagai inisiatif serampang dua mata kerana ia membantu dalam kelangsungan perniagaan dan pengekalan pekerjaan.

Sepanjang PSU diperkenal pada 1 April 2020 sehingga kini, Perkeso telah memproses permohonan dan menyalurkan bantuan kepada lebih 334,000 majikan.

Sejak PSU dimulakan sehingga 12 Julai 2021, bantuan telah disalurkan kepada lebih 334,000 majikan meliputi lebih 2.74 juta pekerja.

Ini bermakna kerajaan menerusi Perkeso telah berjaya membantu lebih 2.74 juta pekerja mengekalkan pekerjaan dan meneruskan kehidupan pada waktu sukar ini.

PSU telah menyelamatkan 334,000 majikan daripada berhadapan dengan masalah tidak dapat membayar gaji pekerja dan gulung tikar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ramai pekerja yang bergaji bulanan RM4,000 dan ke bawah tidak hilang punca pendapatan kerana majikan yang menerima PSU disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka.

Melalui PSU4.0, kerajaan akan memperluas lagi manfaat program ini kepada pekerja yang bergaji bulanan lebih RM4,000.

Pemberian PSU 1.0 - 3.0 (Sehingga 12 Julai 2021).
Pemberian PSU 1.0 - 3.0 (Sehingga 12 Julai 2021).

Permohonan untuk PSU 4.0 akan sudah dibuka pada 1 Ogos 2021 sehingga 31 Oktober 2021 menerusi portal Prihatin di https://prihatin.perkeso.gov.my.

Perkeso turut berdepan cabaran dalam merealisasikan program PSU apabila wujud majikan tidak bertanggungjawab yang mengemukakan tuntutan palsu, meliputi senarai pekerja tidak layak termasuk warga asing.Jangan salah guna

Sebanyak 3,837 kes aduan diterima daripada pekerja terhadap majikan berkaitan penyalahgunaan PSU.

Daripada jumlah tersebut, 3,310 kes merupakan aduan tidak berasas, manakala baki 527 kes aduan telah diambil tindakan undang-undang, termasuklah notis tuntutan bayaran balik.

Perkeso juga telah menggantung bayaran kepada 5,537 majikan yang didapati melanggar terma dan syarat iaitu membuat pemberhentian pekerja selepas menerima bantuan PSU.

Sebahagian besar majikan yang menyalahgunakan dana PSU telah diminta memulang atau membuat bayaran bayaran balik secara sukarela kepada Perkeso bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Bagi menangani masalah tuntutan palsu, Perkeso bekerjasama dengan Bahagian Perundangan, KSM serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majikan yang terlibat dalam tuntutan palsu dan menyalahgunakan bayaran PSU boleh didakwa di bawah Seksyen 415, Kanun Keseksaan.

“Majikan perlu jujur dalam mengemukakan permohonan PSU. Perkeso komited memastikan bantuan kerajaan ini disalurkan mengikut syarat dan menepati sasaran.

“Kami juga memantau permohonan yang dikemukakan oleh majikan dan tidak teragak-agak melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan atau penyalahgunaan bantuan tersebut,” tegasnya.

Ringankan beban

Presiden Persatuan Taska Selangor, Mahanom Basri menerima pelbagai maklum balas positif bagaimana PSU telah membantu pengusaha taska meneruskan operasi.

MAHANOM
MAHANOM

“Kami di pihak persatuan turut membantu ahli mendapatkan maklumat dan memudahkan proses PSU menerusi beberapa siri taklimat yang diatur bersama Perkeso.

“Ramai pengusaha taska bawah kami yang melahirkan rasa lega kerana PSU sangat meringankan beban mereka.

“Dengan normal baharu, kerja-kerja pembersihan lebih kerap amat diperlukan. Jadi, bantuan upah untuk kakitangan sokongan sangat membantu,” katanya.

Pengurusan BIZ Hotel Batu Pahat turut mengambil peluang memanfaatkan PSU bagi menampung sedikit sebanyak kos bayaran upah pekerja meskipun berdepan kesukaran membiayai sebahagian besar kos gaji yang perlu dibayar.

Pengarah Urusannya, Dr Sri Ganesh Michiel yang juga Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) turut berharap perhatian khusus kepada sektor pelancongan yang terjejas teruk dapat diberikan.

SRI GANESH
SRI GANESH

“Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan ini. Kami harap agensi-agensi di peringkat kerajaan negeri juga bantu sektor seperti kami.

“Sehingga kini kami masih boleh tampung bayaran upah pekerja meskipun pendapatan menyedihkan. PSU ini membantu untuk jangka pendek, jika kami tidak dapat beroperasi secara normal, kami bimbang tidak dapat bertahan,” katanya.

Bagi pemilik agensi pelancongan PSHoliday.COM, Henry Chua, beliau tidak menafikan PSU membantu pembayaran sebahagian gaji pekerja.

HENRY CHUA
HENRY CHUA

“Bantuan PSU memang membantu untuk jangka masa pendek ini tetapi agensi pelancongan paling terjejas kerana kita tidak dapat beroperasi sejak awal pandemik lagi.

“Kami harap insentif yang ditawarkan bukan dalam bentuk bantuan upah sahaja tetapi membantu bagaimana perniagaan kami boleh dijalankan,” katanya.

LIMA SEKTOR UTAMA PALING BANYAK MENDAPAT MANFAAT

PSU:

Pembuatan

Borong & Runcit

Penginapan & Restoran

Pembinaan

Pengangkutan & Penyimpanan

PSU 4.0:

Sudah dibuka pada 1 Ogos 2021 hingga 31 Oktober 2021 menerusi portal Prihatin di https://prihatin.perkeso.gov.my.

Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut:

- Senarai nama pekerja (mengikut syarat kelayakan)

- Maklumat akaun bank majikan (salinan muka depan penyata bank)

- Maklumat Business Registration Number (BRN)

- Salinan pendaftaran SSM / ROS / ROB / PBT atau lain-lain pertubuhan

- Akuan Pengisytiharan PSU 4.0