Sila log masuk terlebih dahulu.

Kerajaan Kedah tidak pernah anugerah projek RM1.3 bilion: MB

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tidak pernah menganugerahkan sebarang projek bernilai RM1.3 bilion kepada mana-mana pihak.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebaliknya litar lumba yang akan dibangunkan oleh sebuah syarikat di Langkawi adalah projek pelaburan syarikat swasta yang menjalin kerjasama dengan Permodalan Kedah Berhad sebagai pemilik tanah.

"Kerajaan negeri juga tidak memiliki wang sebanyak itu untuk melaksanakan projek pembangunan, apatah lagi projek berkaitan litar perlumbaan kereta," katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.

Beliau mengulas tindakan ahli PKR, S Indrani yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Khamis selepas mendakwa Muhammad Sanusi menyalahgunakan kuasa dalam pemberian sebuah projek berkaitan sektor pelancongan negeri.

Ahli PKR cabang Sungai Siput itu mendakwa mempunyai bukti bahawa projek berkenaan dianugerahkan kepada sebuah syarikat dan pengasasnya, yang juga antara pengarah syarikat tersebut, telah muflis.

Muhammad Sanusi berkata, rundingan dan kerjasama projek pelancongan itu juga adalah antara syarikat dengan syarikat dan bukan antara individu dengan individu.

Beliau juga berkata, dakwaan ahli PKR itu bahawa terdapat individu tertentu yang didapati muflis terbabit dalam syarikat tersebut adalah urusan dalaman yang tiada kaitan dengan kerajaan negeri Kedah.

"Kerajaan (negeri) berpandangan ahli PKR itu yang membuat tuduhan 'salah guna kuasa dalam penganugerahan projek kerajaan negeri kepada syarikat itu' adalah tidak cermat dan hanyalah satu propaganda politik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sentiasa telus dan mengamalkan tahap integriti tertinggi dalam melaksanakan sebarang projek pembangunan di Kedah.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa terbuka untuk mengkaji, menerima dan bekerjasama dalam sesuatu cadangan pelaburan di Kedah, jika ada pihak swasta yang memiliki keupayaan kewangan, pengalaman dan kesungguhan untuk melabur dalam sebarang projek yang akan menyumbang kepada pembangunan sektor ekonomi di Kedah.

"Pencapaian dan kepercayaan para pelabur untuk melabur di Kedah adalah bukti kesungguhan dan ketelusan kami bekerja untuk rakyat negeri ini," katanya. - Bernama