X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Sultan Johor tidak teragak bubar DUN jika ADUN terus bertelagah

Sultan Johor, Sultan Ibrahim
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor tidak menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai medan perbalahan politik dan merebut kuasa.

Baginda mengingatkan agar kesemua 57 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu menggunakan sesi persidangan bermula hari ini untuk berbincang bagi merancang pelan tindakan membantu rakyat ketika pandemik Covid-19 melanda.

"Awak (ADUN) semua mesti pentingkan rakyat di luar yang sedang susah, ada kelaparan, hilang pekerjaaan dan ada yang bertarung nyawa akibat wabak Covid-19 ketika ini.

"Ingin saya ingatkan Dewan Negeri ini tempat untuk berbincang dan buat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor.

"Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika bertitah pada pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14, di Kota Iskandar di sini pada Khamis.

Baginda turut mengingatkan kesemua ADUN supaya tidak mengganggu-gugat kerajaan negeri Johor di mana tindakan membubar DUN akan dilakukan jika perkara terbabit dilakukan pada sidang kali ini.

"Saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya.

"Jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan saya sekarang, maka saya tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN Johor. Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri bukannya kepentingan rakyat.

"Apabila keadaan Covid-19 terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih ahli dewan yang baharu. Selepas ini, pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk masyarakat," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Ibrahim menasihatkan persidangan kali ini perlu dilakukan dengan lebih berhati- hati dan Speaker boleh menangguhkan sidang seandainya berlaku ancaman risiko tinggi penularan Covid-19.

"Persidangan dewan kali ini juga hendaklah dibuat dengan berhati-hati. Pastikan semua yang hadir harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan penilaian risiko kesihatan hendaklah dibuat setiap hari.

"Jika ada ancaman risiko tinggi, saya minta Speaker tangguhkan sidang dewan ini," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menggesa agar kerajaan negeri bekerja keras membangunkan semula ekonomi Johor termasuk membantu peniaga selain menarik pelabur luar supaya banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

"Kerajaan negeri perlu membuat dasar baharu yang mesra pelabur dengan insentif lebih menarik supaya pelabur datang ke negeri ini," titah baginda.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!