Himpunan haram: Ummah desak PDRM bertindak tegas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menganjur atau menyertai himpunan haram #Lawan pada 21 Ogos ini.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, perhimpunan ketika pandemik akan memberi kesan besar kepada kemudaratan jangkitan wabak merbahaya varian Delta Covid-19 yang membawa risiko kepada nyawa rakyat.

Beliau berpandangan, perbuatan berhimpun secara beramai-ramai juga adalah satu sikap yang sangat tidak bertanggungjawab malah melampau serta melanggar undang-undang negara.

“Berhimpun boleh tapi biarlah kena pada masanya,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook badan bukan kerajaan (NGO) itu pada Rabu.

Pada 7 Ogos lalu, PDRM telah mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur atau peserta yang merancang untuk mengadakan perhimpunan jalanan pada 21 Ogos ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat pihak yang merancang akan mengadakan perhimpunan berkenaan.

Menurut beliau, perancangan aktiviti berkenaan adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mengulas lanjut, Mohd Zai berkata, dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perlaksanaan SOP PPN yang sedang dilaksanakan, perbuatan sedemikian sangat jelas cuba melanggar dan mencabar undang-undang negara.

Artikel Berkaitan:

“Kita masih lagi berjuang untuk memutuskan rantaian Covid-19 dan semua pihak sepatutnya bekerjasama membantu KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Ummah berharap tindakan tegas dan pantas daripada PDRM dapat segera dilaksanakan bagi menghalang himpunan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Ummah juga akan membuat laporan polis bagi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dengan tegas dan sebaiknya.