SKMM ambil tindakan tegas tangani kemudaratan dalam talian

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan tegas ekoran berlakunya peningkatan dan tahap kandungan digital dieksploitasi oleh penjenayah yang cuba mengganggu-gugat keselamatan awam serta keharmonian negara.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, terdapat beberapa aplikasi Over-The-Top (OTT) di media sosial yang dilihat gagal mengawal selia penggunaan platform mereka sejajar dengan kepentingan nasional dan perundangan negara.

Tambahnya, perangkaan yang diperolehi daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh antara 2021 sehingga April 2023 mendedahkan, jumlah kerugian akibat scam mencecah sehingga RM1.2 bilion dan bagi tempoh sama juga jumlah berita palsu yang dilaporkan kepada SKMM adalah sebanyak 2,125 kes.

“Sejak penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada Oktober 2022, sejumlah 11,858 aduan yang berkaitan dengan penipuan telah diterima setakat April 2023.

“Selepas meneliti bilangan kes penyalahgunaan dan ancaman yang ditimbulkan akibat sikap lepas tangan oleh penyedia platform, pihak SKMM berpendapat wujud keperluan untuk mengenakan serta menguatkuasakan kewajipan terhadap pengendalinya.

“Pihak yang mendapat manfaat daripada digitalisasi perlu mengambil langkah tegas bagi memastikan rangkaian kendalian mereka tidak digunakan sebagai forum untuk melanggar undang-undang negara ataupun mengancam kepentingan awam,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Ujar beliau, pendekatan kawal selia bagi melaksanakan tahap pengawasan yang lebih tinggi menerusi instrumen perundangan seperti di Singapura, Vietnam dan Indonesia agar aktiviti penipuan dalam sesetengah platform dikenakan sekatan.

Menurutnya, ia termasuk kajian semula ke atas pengecualian terhadap sesetengah aktiviti selain mengenakan sekatan jenayah dan arahan punitif terhadap entiti enggan mengambil langkah segera bagi memastikan aktiviti jenayah yang berlaku dalam rangkaian atau platform mereka dihentikan.

“Tindakan bersama dan usaha yang diambil oleh SKMM adalah penting dalam memastikan masyarakat dilindungi dan mempunyai satu persekitaran digital yang selamat.

“Langkah berkenaan juga akan dapat memastikan rasa tanggungjawapan yang lebih tinggi dan hormat kepada kedaulatan nasional, namun pada masa yang sama memperkasakan perlindungan kepada pengguna terhadap kemudaratan dalam talian termasuk scam dan aktiviti penipuan,” katanya.