Sijil digital vaksin palsu: Polis Kedah buka kertas siasatan

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah telah membuka kertas siasatan berhubung penjualan sijil digital vaksin palsu susulan satu laporan polis berkaitan kes terbabit yang tular di media sosial.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan polis itu dibuat pada jam 9.44 malam pada Selasa.

"Polis Kedah menerima satu laporan berkaitan wujudnya penjualan sijil digital vaksin palsu, susulan itu satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan akhbar pada Rabu.

Kamarul Zaman berkata, bagaimanapun setakat ini tiada laporan polis yang diterima berkaitan pemilikan atau penjualan sijil digital vaksin palsu di negeri ini.

"Individu terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh untuk memiliki sijil tersebut," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat di talian 04-7741 275 atau MERS 999.

"Anda juga boleh terus hubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Noorulazanni Muhammad Noor di talian 011-1031 8409," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Datuk Dr Mohd Rushdan Mohd Noor sebelum ini mendedahkan sijil berkenaan dikesan dijual di media sosial pada harga RM15.

Beliau turut berkongsi paparan sijil palsu berkenaan di Facebook miliknya, yang menyamai sijil digital sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: Sijil digital vaksin palsu RM15 dikesan dijual di media sosial