Kerajaan digesa libatkan NGO bagi jayakan PPN

Aminuddin sebagai panelis program Wacana Sinar edisi ke-279 yang bertajuk “Krisis Tiga Serangkai: Politik, Ekonomi dan Kesihatan” yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Aminuddin sebagai panelis program Wacana Sinar edisi ke-279 yang bertajuk “Krisis Tiga Serangkai: Politik, Ekonomi dan Kesihatan” yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi membantu kerajaan dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya berkata, ia kerana NGO merupakan golongan yang lebih memahami masalah serta kumpulan yang banyak membantu meringankan beban rakyat ketika ini.

“Apabila kerajaan menubuhkan MPN, majoriti saya lihat merupakan orang korporat, bekas ahli politik dan ahli akademik iaitu mereka tidak duduk dalam komuniti dan merasai beban rakyat.

“Sebab itu saya cadangkan agar melibatkan NGO dalam MPN yang lebih memahami serta dekat dengan masalah yang dihadapi rakyat.

“Dengan adanya mereka (NGO) saya berpandangan ia dapat membantu kerajaan dalam membina satu polisi yang bagus seterusnya bantu meringankan beban rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-279 yang bertajuk Krisis Tiga Serangkai: Politik, Ekonomi dan Kesihatan yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis adalah Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Lukman Sheriff Alias dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syahrin Hamidon manakala Edlynna Hanie Hamid selaku moderator.

Dalam pada itu, Aminuddin menggesa agar ahli politik memberhentikan permainan politik kotor yang mementingkan kuasa dan harta secepat mungkin dan memberi fokus kepada masalah yang dihadapi rakyat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, permainan politik kotor itu bukan sahaja memberi masalah kepada negara, ia juga akan menambahkan lagi beban rakyat yang sudah sengsara akibat kesan pandemik Covid-19.

“Kalaulah hari ini pemimpin politik tiada sikap moraliti yang kita kata boleh harap, ini satu perkara yang membimbangkan kerana apabila kerosakan bermula di kepala, badan tak boleh buat apa.

“Pemimpin yang menentukan dasar dan polisi negra. Apabila mereka bergaduh yang jadi mangsanya adalah rakyat yang sedang gelisah,” katanya.