17,236 kes positif Covid-19, lebih 15,000 sembuh

Bilangan kes baharu positif Covid-19 di Malaysia terus catat menurun dengan 17, 236 kes dilaporkan hari ini berbanding 18,688 pada Ahad.
Bilangan kes baharu positif Covid-19 di Malaysia terus catat menurun dengan 17, 236 kes dilaporkan hari ini berbanding 18,688 pada Ahad.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 17,236 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini adalah 1,279,776.

"Daripada jumlah kes baharu, sebanyak 372 kes adalah kategori tiga hingga lima manakala 16,864 pula kategori satu dan dua," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Berdasarkan data kes harian mengikut kategori dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai 118 pesakit kategori lima adalah mereka yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi berbanding yang telah mendapat vaksin iaitu seramai tujuh orang.

Bagi kategori satu pula, seramai 7,329 pesakit positif Covid-19 tidak mempunyai sejarah vaksin dan 1,312 pula ada vaksinasi.

Kes harian di Selangor merekodkan sedikit penurunan berbanding minggu lalu dengan hanya 5,740 kes baharu dilaporkan.

Ia diikuti oleh Kuala Lumpur 1,567 kes, Kedah (1,328), Sabah (1,247), Johor (1,232) dan Negeri Sembilan (1,215).

Negeri lain adalah Perak (935), Kelantan (914), Pulau Pinang (908), Pahang (604), Sarawak (589), Terengganu (501), Melaka (360), Putrajaya (66), Perlis (22) dan Labuan (lapan).

Artikel Berkaitan:

Terdapat 227,230 kes aktif di seluruh negara termasuk 1,095 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Sebanyak 579 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat 212 kes kematian berkaitan Covid-19 yang mana 186 kes adalah rakyat tempatan dan 26 pula warga asing.

"Kes kematian pada hari ini melibatkan 76 di Selangor, Johor (24), Kedah (20), Kuala Lumpur (18), Pahang (16), Negeri Sembilan (14), Pulau Pinang (12), Sabah (11), Melaka (lapan), Terengganu (lima), Kelantan (empat), Perak (dua), Perlis (satu) dan Sarawak (satu)," katanya.

Ringkasan data kematian menunjukkan, terdapat 14 kes jenazah dibawa ke hospital (BID) dan 172 pesakit meninggal dunia di fasiliti perubatan.

Jumlah keseluruhan kes kematian adalah 10,961.

Sementara itu, sebanyak 15,187 kes telah sembuh sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya, 1,041,585 kes.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 36 lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan 19 kluster tempat kerja dan 12 kluster komuniti.

"Terdapat dua kluster pusat tahanan dan masing-masing satu kluster keagamaan dan kumpulan berisiko tinggi," katanya.

Jumlah keseluruhan kluster adalah 3,974 dan 2,742 daripadanya telah diisytiharkan tamat.

Sebanyak 1,232 lagi kluster masih aktif yang merekodkan pertambahan kes.