Mesyuarat kedua MPN bincang keperluan buka semua sektor perniagaan

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang membincang dan mempertimbangkan pelbagai aspek di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). - Foto FB Muhyiddin Yassin
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang membincang dan mempertimbangkan pelbagai aspek di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). - Foto FB Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Kedua Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diadakan pada Jumaat antara lain membincangkan mengenai keperluan sektor perniagaan terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana(PKS) dibuka semula dengan prosedur operasi standard yang ketat.

Mesyuarat secara maya dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut membincangkan dengan terperinci dan mengambil kira pelbagai data dan pandangan pakar-pakar kesihatan dan ekonomi berhubung kadar vaksinasi termasuk status vaksinasi individu dan kapasiti Unit Rawatan Rapi.

Menurut catatan di Facebook Muhyiddin, ahli-ahli MPN yang hadir ialah bekas Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Pakar lain termasuk bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar, Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang, Profesor Madya Dr Sivakumar Thurairajasingam daripada Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Jeffrey Cheah, Monash University dan aktivis hak asasi kanak-kanak Datuk Dr Hartini Zainuddin.

Selain itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan Penasihat Kumpulan Media Star Datuk Seri Wong Chun Wai.

"Diharapkan agar apa yang dibincang dan disyorkan dalam MPN akan dapat membantu kerajaan dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” menurut catatan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: