17 lokaliti di Perak, Pahang dan Sabah dikenakan PKPD

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 10 lokaliti di Perak, empat di Pahang dan tiga di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Ahad ini hingga 21 Ogos depan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, di Perak lokasi dikenakan PKPD ialah Pulau Pangkor melibatkan Taman Seri Pangkor, Rumah Murah Pangkor, Ladang Kong Heap Lee, Kampung Tengah, Flat Taman Desa Pangkor dan Taman Desa Pangkor.

PKPD di Perak turut melibatkan Tapak Bina Horizon, Kinta; Kampung Perlok Baru dan Kampung Perlok di Mukim Sungkai, Batang Padang; serta di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Kinta.

“Lokaliti di Pahang pula melibatkan Kuala Tahan, Jerantut dan tiga lokasi di Temerloh iaitu Taman Sri Layang, Taman Rimba dan Taman Tualang Indah,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD pada Jumaat.

Di Sabah, lokaliti yang terlibat ialah di University Condominium Apartment 2 dan Rumah Murah Kepayan di Kota Kinabalu; serta Kampung Lohan 1 di Ranau.

PKPD yang dilaksanakan sebelum ini di Kuarters Pekerja Ladang Pelitanah 1 dan 2, Dalat, Mukah, Sarawak dilanjutkan sehingga 14 Ogos, manakala PKPD di Bandar Sinsuran, Kota Kinabalu, Sabah dilanjutkan sehingga 21 Ogos.

Hishammuddin berkata, setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai situasi semasa, PKPD di satu lokasi di Kuala Lumpur iaitu di Taman Hock Ann, Jalan Klang Lama akan ditamatkan esok.

PKPD turut ditamatkan Sabtu melibatkan beberapa lokaliti di Sabah iaitu Taman Sabana Fasa 1, Keningau; Kampung Berhala dan Kampung Melayu Bumiputra, Sandakan; Kampung Nagapas, Jln Kebun Lama, Papar dan Kampung Kolam, Kudat.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, penamatan PKPD turut melibatkan lima lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah iaitu di Taman Sepanggar, Blok D & E, Apartment Angkasa, Kampung Sepakat Jaya, Kampung Rampayan dan Kampung Lokub.

Menyentuh operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pada Khamis, beliau berkata, 67 premis diarah tutup serta-merta ekoran kegagalan mematuhi SOP.

Menurut Hishammuddin, seramai 194 individu dikompaun kerana ingkar SOP dan 31 lagi direman manakala dalam Op Benteng, 15 pendatang tanpa izin ditahan serta empat kenderaan darat dirampas. - Bernama