JAIS terus usaha martabatkan pendidikan Islam

Shazihan Ahmad
Shazihan Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meneruskan usaha memartabatkan pendidikan Islam sebagai teras utama menjana guru dan pelajar berkualiti, relevan dan sebagai agen perubahan bangsa dan umat Islam di Selangor.

Pengarahnya, Datuk Shazihan Ahmad berkata, JAIS kini mempunyai 571 komponen yang akan melakukan proses-proses perubahan dan pembinaan ilmuan dan cendekiawan.

Menurutnya, usaha itu dilaksanakan melalui 13 buah prasekolah, 11 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), 228 buah Sekolah Rendah Agama, 296 buah KAFA Integrasi, 23 buah Sekolah Agama Menengah (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) dan lima buah Maahad Integrasi Tahfiz Selangor.

"Guru menjadi komponen yang penting apabila seramai 10,000 orang guru akan melaksanakan proses-proses pendidikan kepada seramai 350,000 orang murid di seluruh negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Sambutan Hari Guru JAIS 2021 yang diadakan secara dalam talian di Facebook JAIS pada Khamis.

Majlis anjuran Bahagian Pendidikan Islam JAIS itu disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan dua tokoh guru di negeri ini turut diumumkan sebagai Tokoh Guru Murabbi Lelaki dan Wanita bagi tahun 2021.

Mohd Masudi Mohd Yusof, 77, yang juga merupakan Penyelia Naziran Daerah Gombak dipilih sebagai Tokoh Guru Murabbi Lelaki manakala bekas Guru Besar SRAI Dato Mufti Yusoff Sahabuddin, Seksyen 7, Shah Alam, Rusnah Jamali, 60, pula sebagai Tokoh Guru Murabbi Wanita.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shazihan berkata, sistem pendidikan Islam di JAIS telah bermula sejak 73 tahun lalu dan telah memberikan sumbangan melalui kelahiran para ulama dan cendekiawan Islam.

"Tidak kurang juga yang berjaya sebagai golongan teknokrat dan profesional dalam pelbagai bidang kepakaran.

"Saya percaya syiar Islam yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun di negeri ini sebahagiannya adalah hasil sumbangan sistem pendidikan Islam," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyarankan agar guru-guru JAIS dapat mengamalkan sikap proaktif, berdaya saing, bersemangat kental, berakhlak mulia dan memiliki ciri-ciri Murabbi Ummah.

Rusnah Jamali (kiri), Mohd Masudi Mohd Yusof (kanan)
Rusnah Jamali (kiri), Mohd Masudi Mohd Yusof (kanan)

Menurutnya, hanya guru cemerlang akan melahirkan anak didik yang gemilang malah guru seumpama bintang di langit, menjadi petunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat atau di lautan bertepatan dengan sabda Rasulullah S.A.W.

"Sehubungan itu, sebagai tanda penghargaan, pihak jabatan turut berbesar hati untuk memberikan pengiktirafan seperti Anugerah Tokoh Guru Murabbi bagi menjadi suri tauladan (role model) dengan memiliki ciri-ciri Muallim, Muaddib, Muwajjih dan Mudarrib dalam tempoh perkhidmatan sehinggalah kini bersama masyarakat pula," katanya.

Di samping itu, katanya, beberapa penghargaan dan pengiktirafan lain turut diberikan berdasarkan fungsi dan peranan para guru yang masih dalam perkhidmatan seperti Anugerah Muallim Cemerlang diberikan kepada guru mempunyai kemahiran dalam aspek Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berkesan.

"Anugerah Muaddib Cemerlang ini diberikan kepada guru berjaya membentuk sahsiah, akhlak dan adab pekerti murid serta persekitarannya manakala Anugerah Muwajjih Cemerlang diberikan guru yang terlibat dengan pentadbiran dan pengurusan sekolah dengan cemerlang dan berkesan," katanya.

Beliau berkata, sementara bagi Anugerah Mudarrib Cemerlang pula, ia diberikan kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan atau guru yang mampu memberikan bimbingan dan penyeliaan berterusan.