'Ordinan Darurat luput 1 Ogos, tiada keperluan berbahas lagi'

Tan Sri S A Vigneswaran
Tan Sri S A Vigneswaran
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada keperluan bagi semua ahli Parlimen untuk membahaskan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat pada Isnin ini berikutan tarikh luput ordinan itu bakal berakhir pada Ahad, kata bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran.

Vigneswaran yang juga Presiden MIC berkata, tindakan ahli Parlimen membahaskan Ordinan Darurat dianggap hanya mensia-siakan masa Parlimen dalam usaha memulakan protokol dan prosedur ke arah membangunkan kembali negara ini.

Jelas beliau, sidang Parlimen sebenarnya memberi peluang kepada negara untuk menyusun semula dan menetapkan hala tuju negara yang malangnya telah terganggu ketika ini.

“Oleh kerana Ordinan Darurat akan luput pada 1 Ogos dan terbatal, tidak ada keperluan bagi ahli Parlimen menjalani sesi ucapan panjang kerana keadaan semasa menunjukkan terdapat isu-isu yang lebih penting berkaitan keadaan negara ketika ini perlu ditangani," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Vigneswaran turut menegaskan sidang khas Parlimen diadakan dengan tujuan utama berbahas mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengatasi krisis pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau turut berpandangan sidang khas kali ini sepatutnya menetapkan hala tuju bagi menangani isu yang berkaitan dengan pandemik berkenaan.

"Dan satu ketetapan telah dicapai bahawa tiada usul atau resolusi akan dipertimbangkan semasa persidangan," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin mengeluarkan satu notis pada Sabtu bagi memaklumkan semua ahli Parlimen bahawa hari terakhir persidangan pada Sidang Khas Parlimen yang sepatutnya diadakan pada 2 Ogos, ditangguhkan.

Artikel Berkaitan:

Menurut notis itu, penangguhan itu adalah selaras dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berikutan pengesanan jangkitan Covid-19 di Parlimen.