Kastam Kedah gagalkan cubaan seludup daun ketum

Dua buah kenderaan yang digunakan untuk mengangkut bungkusan daun ketum sebelum dimuatkan ke dalam bot nelayan untuk diseludup ke negara jiran. - Foto JKDM Kedah
Dua buah kenderaan yang digunakan untuk mengangkut bungkusan daun ketum sebelum dimuatkan ke dalam bot nelayan untuk diseludup ke negara jiran. - Foto JKDM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah menggagalkan aktiviti penyeludupan daun ketum ke negara jiran dalam serbuan di Kampung Jeruju, dua minggu lalu.

Pengarahnya, Azizah Kechik berkata, dalam serbuan yang dilakukan kira-kira 12.15 tengah malam pada 16 Julai itu sebanyak 800 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM24,000 serta dua kenderaan untuk mengangkut daun ketum berkenaan dirampas.

Menurutnya, menerusi Operasi Sapu 2021 itu, sepasukan pegawai Kastam, cawangan penguatkuasaan Alor Setar bersama sepasukan anggota polis cawangan khas E6 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah membuat serbuan di suatu kawasan lapang, Jalan Kampung Jeruju dan berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan.

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat dua buah kenderaan persendirian dalam keadaan mencurigakan bertindak melarikan diri.

"Namun, kenderaan berkenaan berjaya ditahan oleh pasukan serbuan dan ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat beberapa bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum dalam kedua-dua kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Azizah berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket terbabit adalah menyeludup keluar daun ketum menggunakan jalan darat dan air.

“Suspek menggunakan dua buah kenderaan persendirian yang diubah suai bagi membawa masing-masing 400 kg daun ketum.

"Bungkusan daun ketum itu dipercayai akan dimuatkan ke dalam bot nelayan untuk diseludup masuk ke negara jiran bagi tujuan perdagangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30 Akta Racun 1952 dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup daun ketum.