Cubaan seludup rokok bernilai lebih RM6.3 juta gagal

Kastam Sabah menggagalkan cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM6.3 juta di negeri ini dalam tempoh tujuh bulan pertama 2023. - Gambar hiasan
Kastam Sabah menggagalkan cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM6.3 juta di negeri ini dalam tempoh tujuh bulan pertama 2023. - Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sabah menggagalkan cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM6.3 juta di negeri ini dalam tempoh tujuh bulan pertama 2023.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, nilai itu membabitkan 591 kes dengan 573 rampasan dan 17 tangkapan.

Katanya, kes terbaharu adalah rampasan rokok seludup bernilai lebih RM261,000 berhampiran kawasan pesisir pantai Cowie Bay, Batu 2 Jalan Apas di sini pada jam 8.30 malam, Selasa lepas.

"Kita menerima maklumat kemasukan sebuah bot mencurigakan dan sepasukan anggota ke lokasi kejadian lalu menemukan longgokan kotak ditinggalkan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kotak berkenaan mengandungi 384,000 batang rokok dipercayai daripada negara jiran,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Mohd Nasir berkata, rokok jenama baharu itu dipercayai dibawa masuk menggunakan bot laju yang memasuki kawasan sunyi bagi mengelak dikesan anggota penguat kuasa serta untuk pasaran tempatan.

Tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan pesisir pantai daerah ini adalah kawasan titik panas dan beberapa lokasi dalam pemantauan Kastam.

Justeru, katanya orang ramai digesa membantu memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan di negeri ini.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam berhampiran", katanya. - Bernama