Pengarah syarikat didakwa tawar skim pelaburan pokok kurma tak berdaftar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat penanaman pokok kurma didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menawarkan skim pelaburan pokok kurma tidak berdaftar kepada orang ramai dengan menjanjikan pulangan lumayan hasil daripada tanaman itu.

Chin Yoong Fung, 37, selaku Orang Kena Saman, yang berdiri di luar kandang tertuduh, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Beliau didakwa menawarkan kepada orang awam untuk membeli kepentingan dalam skim pelaburan iaitu skim pelaburan penanaman pokok kurma, walhal semasa penawaran kepentingan, tidak terdapat surat ikatan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan dengan kepentingan itu yang sedang berkuatkuasa.

Chin dituduh melakukan perbuatan itu di Date Palm Agro Berhad yang beralamat di 2-37, PV 128, 128 Jalan Genting Kelang, Setapak, di sini, antara 13 Sept 2015 dan 14 Sept 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94(1)(a) akta sama memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SSM Faizal Mahdi Mahmud menawarkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Chin bagi menjamin kehadiran OKS ke mahkamah, namun peguam Datuk S. Arumugam membantah tawaran jaminan dengan alasan tidak ada bukti anak guamnya tidak menghadirkan diri ke mahkamah kerana sentiasa memberi kerjasama baik dan hadir setiap kali dipanggil pihak SSM.

Manira tidak membenarkan sebarang ikat jamin dikenakan terhadap Chin namun memberitahu sekiranya Chin tidak hadir ke mahkamah pada sebutan seterusnya, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap tanpa penjamin, dan mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Mac untuk sebutan semula kes.

Menurut SSM, selain mendaftarkan syarikat, mana-mana syarikat yang mahu membuat tawaran skim berkepentingan perlu mendaftarkan skim itu dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjaga hak-hak pemegang skim dan membolehkan pihak SSM memantau perkembangan skim itu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan 739 orang awam menyertai skim itu yang membabitkan pelaburan lebih RM11 juta dan setiap pelabur akan memperolehi keuntungan mengikut bilangan pokok kurma yang hendak dilabur iaitu satu pokok kurma bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000.

Syarikat itu juga akan menguruskan penanaman dan penjagaan pokok sehingga mendapat hasil. - Bernama