Pemilik tampil perjelas isu kuil di tanah persendirian

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, pemilik sebuah tanah persendirian di Sepang memberi tempoh seminggu kepada pihak berkaitan bagi mengosongkan sebuah kuil yang didakwa dibina tanpa kebenaran.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, pemilik sebuah tanah persendirian di Sepang memberi tempoh seminggu kepada pihak berkaitan bagi mengosongkan sebuah kuil yang didakwa dibina tanpa kebenaran.
A
A
A

SEPANG – Seorang pemilik tanah persendirian tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung kewujudan semula sebuah kuil di atas tanah miliknya di Dengkil di sini selepas lebih 20 tahun beliau tidak memasuki kawasan berkenaan yang terletak jauh dan dikelilingi paya serta hutan.

Pemilik tanah itu, Datuk Suhaili Ahmad berkata, tanah berkenaan dibelinya sejak 2001 dan sebelum ini telah ditambak bagi tujuan pemasangan papan iklan di tepi lebuh raya.

Menurutnya, ketika kerja-kerja pemasangan papan iklan dijalankan, kuil yang sebelum itu berada di kawasan tanahnya telah berpindah ke lokasi lain.

"Pada masa itu, saya sendiri bertanya kepada penjaga kuil dan mereka mengakui telah berpindah kerana kawasan tanah saya tidak lagi sesuai,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Bagaimanapun, katanya, beliau terkejut apabila baru-baru ini mendapati sebuah kuil yang lebih besar dibina semula di atas tanah persendirian berkenaan.

“Saya memang tak masuk kawasan ini kerana lokasinya terpencil dan berpaya, selain untuk sampai ke situ kena pusing jauh melalui kawasan KLIA dan kampung.

"Sesekali saya hanya pantau tanah itu dari lebuh raya untuk melihat papan iklan yang dipasang," jelasnya.

Suhaili berkata, kewujudan binaan berkenaan menjejaskan hasrat untuk menjual tanah itu memandangkan sebarang urusan jual beli tidak boleh dilaksanakan selagi terdapat struktur kekal di atas tanah persendirian terbabit.

"Macam mana saya hendak jual tanah kalau ada binaan di atasnya dan sudah tentu proses jual beli tak boleh dilakukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan pencerobohan itu, Suhaili memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang, namun diminta supaya tanah itu dipagarkan sepenuhnya.

"Saya tidak memagar kerana tanah itu kawasan hutan dan paya, selain bukan kawasan bangunan atau kebun,” katanya.

Mengulas lanjut, Suhaili berkata, isu itu juga melibatkan pegangan prinsip dan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim.

"Selagi tidak tahu, mungkin tidak berdosa, tetapi sekarang saya tahu ada binaan tempat ibadat agama lain di atas tanah persendirian tanpa kebenaran,” katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, pemilik sebuah tanah persendirian di Sepang memberi tempoh seminggu kepada pihak berkaitan bagi mengosongkan sebuah kuil yang didakwa dibina tanpa kebenaran sebelum tindakan perobohan dilaksanakan pada Jumaat ini.

Aktivis Tanah Negara yang juga pemilik akaun Threads, Tamim Dahri menerusi hantaran di platform itu berkata, notis telah diberikan supaya pemindahan dilakukan dalam tempoh ditetapkan.

Ringkasan AI

  • Seorang pemilik tanah di Dengkil terkejut kuil dibina semula di tanahnya setelah 20 tahun tidak memasuki kawasan itu
  • Datuk Suhaili Ahmad memiliki tanah tersebut sejak 2001 dan kuil berpindah ketika kawasan ditambak untuk papan iklan
  • Baru-baru ini, kuil yang lebih besar didapati dibina tanpa kebenarannya
  • Kewujudan kuil menyukarkan jualan tanah tersebut kerana urusan jual beli tidak boleh dilaksanakan dengan adanya struktur kekal
  • Sinar Harian melaporkan pemilik tanah memberi tempoh seminggu kepada pihak berkaitan untuk mengosongkan kuil tersebut sebelum tindakan perobohan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!