Timun tidak terjual, dua beradik rugi RM2,000 sehari

Nik Azrin (kiri) dan abangnya, Nik Azani menunjukkan lambakan timun yang diusahakan secara fertigasi di Kampung Pulai, Chicha Tinggi, Pasir Mas sejak dua minggu lalu.
Nik Azrin (kiri) dan abangnya, Nik Azani menunjukkan lambakan timun yang diusahakan secara fertigasi di Kampung Pulai, Chicha Tinggi, Pasir Mas sejak dua minggu lalu.
A
A
A

PASIR MAS - Dua beradik kerugian RM2,000 sehari sejak dua minggu lalu kerana gagal memasarkan timun yang diusahakan mereka secara fertigasi di Kampung Pulai, Chicha Tinggi, di sini.

Nik Azrin Nik Yaakub, 29 dan abangnya, Nik Azani, 46, mendakwa situasi pandemik Covid-19 ketika ini mempengaruhi pemasaran hasil tanaman mereka.

Nik Azrin tanpa berselindung mengakui sepanjang tempoh itu dia dan abangnya kerugian sekitar RM28,000 apabila hasil timun yang diusahakan gagal dipasarkan.

"Sepanjang Ramadan lalu pula, kami sudah kerugian teruk selepas gagal memasarkan lada solok akibat masalah Covid-19," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurutnya, semasa Covid-19 menyerang negara pada Mac tahun lalu, mereka tidak berdepan sebarang masalah untuk memasarkan hasil tanaman tersebut kerana ia dijual terus kepada pemborong di pasar borong dekat Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu.

Nik Azrin berkata, sejak dua minggu lalu lambakan hasil sayur-sayuran berlaku apabila pemborong di RTC buntu untuk memasarkan bahan mentah.

"Ia susulan beberapa sektor ekonomi masih lagi ditutup susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

"Jadi,saya berharap pihak kerajaan dapat campur tangan membantu golongan petani untuk memasarkan hasil tanaman ini dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan kerugian berganda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelbagai cara digunakan termasuk membuat jualan secara dalam talian namun ia masih belum mampu membantu mengatasi masalah ini.

Katanya, jika situasi berkenaan berterusan mungkin mereka 'rehat seketika' daripada mengusahakan projek tersebut selepas ini.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyediakan platform bagi membantu golongan terlibat.

"Khidmat ini menerusi Rakan Pemasar FAMA di RTC dan rangkaian-rangkaian agensi tersebut di seluruh negeri.

"Kita juga akan membuat lawatan terus ke ladang, selain FAMA turut menawarkan jualan secara promosi terus dari ladang di lot RTC Kelantan bagi mendapatkan pulangan lebih baik," katanya.

Wan Nora berkata, petani yang memerlukan khidmat pemasaran dari agensi itu, boleh menghubungi terus Pejabat FAMA berdekatan atau Bilik Gerakan FAMA Negeri Kelantan di talian 012-3684203 dan 012-3680125.