Pengkuat kuasa CIDB Selangor didakwa peroleh suapan RM2,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pembantu operasi unit penguatkuasaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Selangor, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan memperoleh suapan wang tunai RM2,000 daripada pemilik syarikat pembinaan, supaya tidak mengeluarkan notis kompaun terhadap syarikat itu.

Mohd Razif Rosli, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai ejen kepada CIDB iaitu pembantu operasi Gred N11 di Unit Penguatkuasaan CIDB Negeri Selangor, telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM2,000 daripada Wong Lain Yu, 37, melalui akaun bank milik tertuduh.

Ia sebagai dorongan bagi dirinya melakukan perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipalnya, untuk tidak mengambil tindakan mengeluarkan notis kompaun terhadap Syarikat WCP Son & Construction Sdn Bhd, yang memiliki lesen pendaftaran CIDB telah tamat tempoh.

Mohd Razif didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Bandar Sri Permaisuri di sini, pada 3 Ogos 2022 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Mohd Shahril Madisa yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga, selain mempunyai seorang bapa berusia 66 tahun yang menghidap penyakit jantung serta memerlukan rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Anak guam saya bekerja sebagai pembantu operasi di CIDB dengan pendapatan RM2,500 sebulan. Dia juga tidak mempunyai pendapatan lain dan sepanjang siasatan anak guam saya memberi kerjasama baik dengan pihak berkuasa,” katanya dan memaklumkan anak guamnya tidak membantah syarat tambahan yang ditetapkan pendakwaan.

Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 25 Sept untuk sebutan kes.

Di mahkamah sama, Chun Wai Hou, 21, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi suapan wang tunai RM400 kepada Lans Koperal Mohd Firdaus Abd Talib yang bertugas di Unit Rondaan Motosikal URB, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields.

Ia sebagai dorongan bagi dirinya melakukan perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipalnya, untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas dirinya yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, kerana memiliki sembilan paket dadah.

Juruteknik pendingin hawa itu didakwa melakukan perbuatan itu di tepi Jalan Puchong Mutiara, Petaling di sini pada 12.30 tengah malam, 14 Julai lepas mengikut Seksyen 17(6) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Chun turut berdepan pertuduhan pilihan, iaitu didakwa memberikan suapan RM400 kepada anggota polis yang sama sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan serupa pada tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan pilihan itu dia dituduh mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM V. Yunaisvari tidak menawarkan jaminan terhadap Chun, kerana tertuduh mempunyai kes dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selain memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan untuk lantikan peguam dan serahan dokuman.

Hakim Azura tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 21 September untuk sebutan kes. - Bernama