11,985 kes baharu Covid-19 hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Sebanyak 11,985 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 65 kes merupakan kategori lima iaitu berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan ventilator.

"Bagi kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen, 45 kes dan 178 kes pula dikategori tiga iaitu pesakit mengalami radang paru-paru," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 5,847 kes merupakan kategori dua iaitu bergejala ringan manakala 5,850 pula kategori satu iaitu tiada gejala.

Beliau berkata, data itu adalah berdasarkan keadaan klinikal pesakit sewaktu baru didiagnosis Covid-19.

"Ada antara mereka kekal pada kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status sama ada bertambah baik atau merosot ke kategori lebih tinggi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya, pada mula didiagnosis, 2.4 peratus kes yang dilaporkan berada pada kategori tiga hingga lima manakala 97.6 peratus adalah kategori satu dan dua.

"Kes kategori satu dan dua yang berisiko rendah serta mempunyai kediaman yang sesuai dibenar isolasi di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan hospital-hospital," katanya.

Menurutnya, melihat situasi jumlah kes harian yang kekal tinggi, sememangnya katil-katil di hospital terutamanya unit rawatan rapi (ICU) adalah penuh.

"Daripada laporan yang diterima CPRC Kebangsaan dan CPRC Perkhidmatan Hospital, kumpulan umur lebih muda misalnya 40 dan 50-an dilihat lebih banyak memenuhi ICU berbanding warga emas berumur 60 tahun dan ke atas," katanya.

Beliau berkata, situasi itu membuktikan vaksin telah membantu mengurangkan jangkitan Covid-19 di kalangan golongan rentan dan warga emas.

"Oleh itu, KKM ingin terus menyeru warga Malaysia terutamanya daripada kumpulan umur antara 18 hingga 59 tahun untuk mendaftar, mengikut janjitemu yang ditetapkan, dan hadir mendapatkan vaksin Covid-19," katanya.

Mengulas lanjut mengenai jangkitan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini adalah 951,884.

Selangor kekal negeri tertinggi melaporkan kes positif iaitu 5,550 kes diikuti Kuala Lumpur 1,174 kes.

Kedah terus merekodkan peningkatan berbanding Selasa iaitu pertambahan 800 kes baharu.

"Negeri Sembilan (745), Johor (644), Pahang (603), Sabah (474), Melaka (453), Kelantan (386), Pulau Pinang (362), Perak (274), Sarawak (261), Terengganu (171), Putrajaya (51), Labuan (35) dan satu kes di Perlis," katanya.

Ujarnya, terdapat 137,587 kes aktif di seluruh negara dan 927 dirawat di ICU.

"Seramai 459 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, seramai 7,902 kes disahkan sembuh sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya, 806,857 kes.

Sehingga 21 Julai 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 11,985 kes (951,884 kes)

Pecahan setiap negeri (Kumulatif):

Selangor - 5,550 (337,897)

WPKL - 1,174 (101,926)

Johor - 644 (80,991)

Sabah - 474 (76,927)

Sarawak - 261 (72,213)

Negeri Sembilan - 745 (64,084) pic.twitter.com/8G6NI6pcPE

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) July 21, 2021