Bengang barisan dipotong, pemandu teksi mengamuk rempuh tiga kenderaan

Pemandu teksi bertindak merempuh kenderaan lain di hadapan dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu.
Pemandu teksi bertindak merempuh kenderaan lain di hadapan dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis mengesahkan tindakan pemandu teksi lapangan terbang yang mengamuk dengan merempuh tiga kenderaan lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Isnin berpunca daripada perasaan tidak puas hati apabila giliran mengambil penumpang sering dipotong oleh rakan pemandu teksi lain.

Bagaimanapun, perkara itu berpunca daripada sikapnya sendiri yang beberapa kali meninggalkan kenderaan di barisan menunggu.

Ini menyebabkan rakan pemandu lain terpaksa memotong giliran bagi mengambil penumpang yang beratur untuk mendapatkan perkhidmatan teksi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati punca suspek berusia 60 tahun itu mengamuk adalah kerana gagal menahan perasaan marah.

"Difahamkan, kejadian itu bukan kali pertama berlaku di mana suspek berang selepas mendapati giliran mengambil penumpang dipotong rakan pemandu lain.

“Namun, ia disebabkan sikapnya sendiri yang meninggalkan kereta di barisan menunggu dan pemandu lain terpaksa memotong bagi mengelakkan penumpang tertunggu-tunggu,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambah beliau, suspek yang menghidap penyakit hipertensi didapati pengsan selepas kejadian itu.

"Suspek kini masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth kerana hipertensi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Isnin, seorang pemandu teksi hilang pertimbangan sehingga merempuh tiga kenderaan lain di KKIA.

Kejadian itu tular dalam kumpulan WhatsApp dan Facebook dan didakwa disebabkan rasa tidak puas hati kerana giliran mengambil penumpang dipotong pemandu teksi yang lain.