JPV Melaka lulus 356 lokasi sembelihan korban sempena Aidiladha

JPV Melaka meluluskan 355 daripada 443 permohonan bagi lokasi kebenaran tempat sembelihan sementara bagi tujuan korban sempena Hari Raya Aidiladha pada Selasa. Gambar hiasan.
JPV Melaka meluluskan 355 daripada 443 permohonan bagi lokasi kebenaran tempat sembelihan sementara bagi tujuan korban sempena Hari Raya Aidiladha pada Selasa. Gambar hiasan.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka, meluluskan 356 daripada 443 permohonan bagi lokasi kebenaran tempat sembelihan sementara bagi tujuan korban, sempena Hari Raya Aidiladha esok.

Pengarahnya, Dr Aidi Mohamad berkata, pecahan lokasi mengikut daerah itu 120 lokasi di Melaka Tengah, Alor Gajah (119), serta 117 lokasi di Jasin.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 166 permohonan diluluskan bagi lokasi penyembelihan di ladang, 174 di masjid atau surau, dan 16 di institusi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Selain jumlah individu dibenarkan bertugas adalah 25 orang, penyembelihan korban boleh dilakukan mengikut masa yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Korban Negeri Melaka yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Melaka baru-baru ini.

Mesyuarat JK Khas Covid 19 Bil.17/2021 juga telah bersetuju untuk membenarkan operasi penyembelihan tempat sembelihan sementara di kandang penternak, beroperasi tanpa had masa sehingga semua aktiviti dapat diselesaikan dengan sempurna dalam tempoh yang singkat, serta pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Pihak yang melaksanakan ibadah korban juga perlu memastikan ternakan korban mempunyai dokumen-dokumen berikut iaitu Akuan Kebenaran Pemindahan Ternakan, Sijil Kesihatan Veterinar dan Permit Penyembelihan Luar, yang boleh didapati di Pejabat Perkhidmatan Veterinar terdekat,” katanya.

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebelum ini membenarkan pelaksanaan penyembelihan korban pada Hari Raya Aidiladha tahun ini di masjid dan surau, dengan bilangan haiwan korban terhad kepada lima ekor sehari sepanjang tempoh empat hari ibadah korban, bermula 20 hingga 23 Julai. - Bernama

Artikel Berkaitan: