76 anggota PDRM kawal PKPD Pangsapuri Merpati (A) Pandan Indah

Suasana sebelum pelaksanaan PKPD Pangsapuri Merpati (A) Pandan Indah di Ampang.
Suasana sebelum pelaksanaan PKPD Pangsapuri Merpati (A) Pandan Indah di Ampang.
A
A
A

AMPANG - Seramai 76 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Keselamatan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Merpati (A) Pandan Indah di sini bermula Ahad hingga 31 Julai.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ia bagi tujuan keselamatan serta mengawal pergerakan penduduk di kawasan itu.

Beliau berkata, seramai 32 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut membantu pemantauan di kawasan kediaman tersebut.

"Kita turut mewujudkan empat 'checkpoint' di setiap tiga blok. Anggota polis yang bertugas akan membuat rondaan bagi memastikan tiada pergerakan bebas penghuni di kawasan ini," katanya ketika ditemui di kawasan PKPD Pangsapuri Merpati (A) di sini pada Ahad.

Kawasan kediaman itu yang mulanya sunyi sekitar jam 10.30 malam Sabtu kemudian 'meriah' kerana puluhan kenderaan PDRM, ATM dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tiba di kawasan berkenaan pada jam 11.15 malam untuk persiapan pelaksanaan PKPD.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain berkata, pihaknya berharap penduduk di kawasan PKPD Pangsapuri Merpati (A) bertenang dan tidak risau berkaitan isu kebajikan.

"Jawatan Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat telah menyediakan perancangan untuk memastikan kebajikan penghuni terjaga.

"Kita telah diarahkan kerajaan negeri Selangor untuk memastikan kebajikan penduduk di sini berada pada tahap terbaik," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Najmuddin berkata, dianggarkan seramai 2,500 orang mendiami pangsapuri tersebut.

"Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat juga telah merangka strategi untuk pelaksanaan PKPD dalam tempoh 14 hari. Sebagai contoh, dua hari pertama mereka akan mengenal pasti status kesihatan dan saringan Covid-19 ke atas penduduk.

"Dalam masa sama, bancian akan dibuat untuk memastikan jumlah sebenar penduduk di kawasan kediaman ini," katanya.