Anak didakwa bunuh ibu kandung

KENINGAU - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis, atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya dalam kejadian di Tambunan, awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Elekson Langak, 31, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Flavian Edward Henry.
Tertuduh sebelum itu didakwa membunuh ibunya yang berusia 56 tahun kira-kira jam 2 petang pada 11 September lalu di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, Tambunan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Jika tidak dihukum mati, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Mahkamah menetapkan 29 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh sementara menunggu kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Daniel Dominic.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan perselisihan faham antara dua beranak serta mengalami tekanan selepas bercerai menjadi punca seorang wanita ditikam di bahagian perut oleh anaknya sendiri.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 31 tahun itu dipercayai berdepan tekanan selepas baru bercerai.
Suspek berjaya ditahan oleh penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung, Tambunan, sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan.
Penahanan suspek adalah bagi membantu siasatan berhubung kematian ibunya yang ditemukan mengalami kecederaan parah di bahagian perut di sebuah rumah sewa.
Beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
