Israel beli tanah di sempadan Thailand?

BANGKOK - Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Phonphir Suwannachawi mengarahkan siasatan terhadap dakwaan pembelian tanah di tiga wilayah paling selatan bersempadan Malaysia bernilai hampir 100 juta baht (RM12.2 juta) oleh perniagaan yang mempunyai kaitan dengan Israel bagi mengenal pasti pemilik hartanah dan tujuan pembelian berkenaan.
Maklumat awal mendakwa urus niaga itu bertujuan untuk membina pusat komuniti dan keagamaan Yahudi dikenali sebagai pusat Chabad.
Susulan itu, beliau menggesa pemeriksaan menyeluruh terhadap pusat Chabad di seluruh negara susulan kebimbangan mengenai pemilikan tanah, sumber pembiayaan serta aktiviti premis berkenaan.
Beliau berkata, pihak berkuasa kini memeriksa kira-kira lapan atau sembilan pusat Chabad di Thailand termasuk beberapa premis yang sedang dirancang atau dalam pembinaan.
Menurutnya, beberapa anggota Parlimen turut menyalurkan maklumat mengenai pembelian tanah itu, termasuk penglibatan syarikat yang menjalankan perniagaan tanah perkuburan serta sektor lain yang dikhuatiri melanggar peraturan tempatan.
"Terdapat kira-kira lapan atau sembilan pusat Chabad di seluruh negara. Saya bercadang mahu mengunjungi sendiri kawasan itu dalam masa terdekat untuk mengetahui siapa pemilik tanah, dari mana sumber dana pembelian, syarikat yang terlibat dan tujuan mereka.
"Sumber pembiayaan pembinaan dan operasi pusat Chabad juga perlu diteliti termasuk bagaimana jumlah wang yang banyak dapat diperoleh bagi membiayai kemudahan berkenaan,” katanya sambil menambah pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Siasatan Khas (DSI) bagi menentukan skop siasatan selanjutnya.
Pihak berkuasa bagaimanapun berusaha meredakan kebimbangan komuniti setempat ketika gelombang sentimen terhadap Israel semakin meningkat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

