Derita bisa ulat bulu laut

Ulat bulu laut yang sangat berbahaya.
Ulat bulu laut yang sangat berbahaya.
A
A
A

TUMPAT - Penyakit yang dihidapi tukang rumah ini didakwa terkena sengatan ulat bulu laut menyebabkan isi daging di kakinya luruh dan bernanah.

Sejak itu, Hamizi Hamzah, 39, di kampung Telaga Lanas di sini terpaksa menahan sakit kaki kanan yang berdenyut, membengkak serta nampak tulang.

Hamizi berkata, tiada pilihan lain dan doktor sarankan agar kakinya dipotong.

"Ini dugaan saya, saya mohon orang yang tahu rawatan terbaik penyakit ini boleh membantu saya, saya terkena ulat bulu laut ketika mencari tiram dua bulan lalu. "Saya tiada penyakit kencing manis," katanya ketika diziarahi Adun Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.

Menceritakan kejadian itu, Hamizi turun ke lagun di Kampung Jubakar Pantai mencari tiram untuk makan malam keluarganya.

Dia yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, ketika di dalam air separas dada, dia merasakan seperti ada anak ikan bermain-main di kakinya.

"Tiga jam saya berada dalam air lagun itu mencari tiram, banyak kali jugalah saya rasa seperti anak ikan merayap di kaki tetapi saya tak syak apa-apa, lagi pun saya pakai stokin," katanya.

Menurutnya, selepas naik ke darat, tiada apa-apa yang pelik di kakinya namun keesokan harinya ada keluar bisa di parut lama di jari kaki.

Artikel Berkaitan:

Isi daging kaki Hamizi luruh, bernanah dan bengkak.
Isi daging kaki Hamizi luruh, bernanah dan bengkak.

"Kaki saya tiba-tiba menjadi lebam kebiruan, semakin membengkak dan terus dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya.

Menurutnya, dia kini perlu mencuci sendiri kakinya dan sebulan sekali perlu dirujuk ke HRPZ II, namun terpaksa membonceng motosikal dihantar oleh isteri, Siti Nurul Ain Supian, 30.

"Saya terpaksa membonceng motosikal dengan kaki nampak isi daging untuk ke HRPZ II.

"Sakit itu hanya ALLAH sahaja yang tahu namun saya perlu kuat.

"Kereta buruk kami rosak, nak sewa kereta, tambangnya mahal," katanya.

Menurutnya, dia hilang punca pendapatan sedangkan perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah dan sewa rumah RM120 sebulan serta ansuran motosikal.

Katanya, makan minum keluarganya kini hanya mengharapkan sedekah orang ramai yang datang menziarahinya kerana isteri tidak bekerja.

Sesiapa yang ingin membantu boleh salurkan ke dalam akaun Maybank Hamizi 153092090412 atau hubungi di talian 019-9993534.