15 'ulat' dicekup di KLIA, KLIA 2

JPJ Selangor melaksanakan Op Khas Ulat di KLIA dan KLIA 2, Sepang baru-baru ini. Foto: JPJ Selangor
JPJ Selangor melaksanakan Op Khas Ulat di KLIA dan KLIA 2, Sepang baru-baru ini. Foto: JPJ Selangor
A
A
A

SEPANG - Operasi Khas Ulat selama 12 hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, di sini, berjaya menahan 15 pemandu kerana menawarkan khidmat kereta sewa haram.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi itu dijalankan pihaknya bermula 7 hingga 18 Ogos lalu.

Menurutnya, kesemua tangkapan membabitkan lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 60-an.

"JPJ Selangor telah menyita 15 buah kenderaan pelbagai jenis antaranya Perodua Alza, Perodua Bezza dan Proton Persona.

"Siasatan mendapati 'ulat' ini memujuk, merayu sama ada warga tempatan atau pelancong asing bagi menawarkan perkhidmatan pengangkutan dengan kadar bayaran tertentu dan akan dibayar apabila tiba di destinasi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, semakan mendapati ada kenderaan yang digunakan itu ialah milik pemandu terbabit selain juga disewa.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, JPJ memandang serius akan kegiatan haram ini dan akan bertindak tegas bagi membendung kegiatan kereta sewa haram di KLIA dan KLIA 2.

"Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA, KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu/pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram," katanya.